Paling Popular
Terkini

Ketua pembangkang di DUN Perak, Abdul Aziz Bari pada awalnya bercadang bertanding di Parlimen Tambun tetapi kini berasa lega kerana presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengambil alih kedudukan itu.

"Beliau adalah orang nombor satu Pakatan Harapan yang berkaliber dan berkarisma untuk menarik pengundi. Saya berada di sana pada mulanya sebagai ketua pembangkang negeri dan saya perasan tidak ada orang yang turun padang.

“Jadi apabila dia datang ia memang melegakan saya dan sekarang saya boleh fokus kepada negeri ini," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Aziz berkata, strategi PH untuk menjadikan Perak sebagai negeri medan hadapan adalah satu langkah yang logik.

“Negeri ini secara fizikalnya berada di koridor itu, kini Perak adalah mata rantaian yang hilang (antara Pulau Pinang dan Selangor) yang mesti ditawan.

"Ini adalah realistik kerana kami telah memerintah dua kali, selama 11 bulan pada 2008 dan 22 bulan pada 2018-20," katanya merujuk kepada dua kali PH mengambil alih kerajaan negeri sebelum tumbang akibat tindakan lompat parti.

Aziz bagaimanapun enggan menyatakan siapa yang akan dinamakan PH sebagai calon bagi jawatan Menteri Besar Perak.

"Tiada siapa lagi dan ia tidak begitu penting kerana pihak lawan tidak benar-benar meletakkan calon yang boleh dipercayai.

“Bagaimanapun dalam tradisi Westminster biasanya ketua pembangkang adalah ketua kerajaan dalam menunggu.

“Walaupun begitu, idea sepatutnya ialah menang dahulu, dan selesaikan jawatan kemudiannya dan saya rasa orang di luar sana sedar akan kemampuan kita.

"Apa yang kamu harapkan daripada pihak yang tidak mahu berdebat? Ini menunjukkan ketidakcekapan dan pengecut. Adakah kamu rasa parti ini boleh menerajui negeri dan negara selepas PRU15 dan kita telah melihat kerosakan yang mereka lakukan kepada negara?" katanya.

Anwar semalam menyelar keengganan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob menyertai sesi debat antara calon perdana menteri daripada parti-parti politik yang bertanding pada PRU15.

Ismail sebaliknya berkata amalan debat bukan budaya dalam politik di negara ini.

Anwar berkata sesi debat adalah penting kerana pemimpin yang korup mampu mengekalkan kuasa sekiranya mereka berjaya memperbodohkan rakyat.

Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi, sebelum ini merancang untuk bertanding di kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya akan datang, tetapi rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya seorang pemain berpasukan, ia adalah urusan parti dan pihak tertinggi PH untuk membuat keputusan. Memetik Tony Blair, saya lebih suka menjadi ahli kerajaan kita daripada menang secara peribadi tapi kekal dalam pembangkang:

“Seperti menjaringkan gol tapi menjadi sebahagian daripada pasukan yang kalah tidak lebih baik daripada berada di bangku simpanan pasukan yang menang," katanya.

Dia juga tidak dapat menyatakan komitmen dengan cadangan yang dikemukakan kepada PH supaya Tawfik Ismail bertanding di Bagan Datuk dan Dr Michael Jeyakumar dari PSM bertanding di Sungai Siput di bawah tiket PH.

“Sukar untuk bercakap mengenai perkara ini secara langsung, kita perlu turun padang untuk melihat sentimen sebenar di luar sana," katanya.

Dia juga berkata walaupun ia merupakan satu cabaran bagi PH untuk menyampaikan mesejnya, gabungan itu tidak akan tergesa-gesa melakukan perubahan secara semborono.

"Pada akhirnya, muka yang boleh menang dan isu yang penting.

“Umur sahaja tidak menentukan segala-galanya, ada ramai anak muda di luar sana yang keliru dan tidak peduli," katanya.

Aziz berkata walaupun ramai menjangkakan PH akan mencatatkan prestasi buruk di kawasan Melayu di luar bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak, ia tidak semestinya begitu.

"Tunggu dan lihat sahaja, kita telah melihat penambahbaikan dalam banyak bidang termasuk suruhanjaya pilihan raya, peraturan pilihan raya dan media sosial yang juga boleh diakses oleh mereka. Jadi kami positif.

“Rakyat menghadapi isu kos sara hidup dan ekonomi yang perlu ditangani, tetapi reformasi institusi juga penting.

“Dan saya percaya kepada kebijaksanaan orang ramai, jangan sesekali memperkecilkan perkara itu,” kata Aziz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS