Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRU15 | Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mengumumkan keputusannya untuk tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, namun pada masa yang sama berjanji untuk terus membantu parti itu.

Pua membuat pengumuman itu pada majlis makan malam dan kutipan dana DAP Damansara yang diadakan malam ini, di mana setiausaha agung parti itu, Anthony Loke juga mengumumkan penyandang Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, akan berpindah kerusi untuk bertanding di Damansara.

“Saya secara rasmi mengumumkan saya tidak akan bertanding sebagai ahli parlimen. Keputusan ini telah dibuat bertahun-tahun lalu untuk berundur daripada barisan hadapan politik.

"Saya tidak akan hilang dari ufuk politik. Pada PRU ini, saya terlibat sepenuhnya dalam jentera parti dan kempen mengumpul dana," kata bekas pengerusi DAP Selangor itu.

"Melangkah ke hadapan, saya lebih gembira untuk menyumbang dalam dasar dan organisasi parti," katanya.

Untuk rekod Pua merupakan bekas setiausaha politik kepada pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai menteri kewangan ketika PH menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut, Pua berkata dia akan memainkan peranan jika gabungan itu kembali menjadi kerajaan persekutuan selepas PRU15.

Semasa Pua mengumumkan keputusan tidak bertanding, kedengaran suara riuh daripada mereka yang hadir.

Apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyampaikan ucapan, seorang lelaki kedengaran berteriak, "Kenapa?" "Kami mahu Tony Pua!".

Pua sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, sebelum kerusi itu ditukar nama kepada Damansara pada PRU14.

Sementara itu, penyandang ahli parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, akan diletakkan di Puchong, menyertai senarai empat calon DAP Selangor yang diumumkan malam ini.

ADUN bertanding di Klang

Dua lagi calon yang diumumkan ialah peguam Syahredzan Johan yang akan bertanding di Bangi bagi menggantikan Ong Kian Ming, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

Manakala Adun Kota Kemuning, V Ganabatirau akan bertanding di kerusi parlimen Klang bagi menggantikan Charles Santiago.

Charles sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi itu berikutan sokongan luar biasa di kalangan akar umbi parti itu.

Pengumuman malam ini menjelang hari penamaan calon pada 5 Nov menyaksikan rombakan barisan calon DAP Selangor di keempat-empat kerusi parti itu.

Ditemui pemberita kemudiannya, Gobind berkata pengumuman lanjut dijangka dibuat pada hujung minggu ini, sama ada DAP akan bertanding kerusi parlimen di Tanjung Karang.

Jika tidak, kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu pada PRU14 lalu akan diperuntukkan kepada Muda susulan rundingan kerusi dalam pakatan pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS