Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerhana bulan penuh: Masjid Cina Melaka lokasi tumpuan
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Penduduk Melaka berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh di negeri itu yang dijangka berlaku pada 8 Nov ini, kata Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata fenomena berkenaan dijangka berlaku lebih tiga jam bermula 6.51 petang hingga 9.56 malam dan ia boleh disaksikan menggunakan teleskop dengan Masjid Cina Melaka, dipilih sebagai lokasi utama cerapan.

Beliau berkata sebagai cara menghayati dan memahami fenomena unik itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka, akan mengadakan Majlis Cerapan Gerhana Bulan Penuh di Masjid Cina Melaka di Krubong, di sini pada tarikh tersebut.

“Pelbagai pengisian atau program akan dilaksanakan pada hari berkenaan, seperti solat sunat gerhana bulan dan khutbah berkaitan fenomena itu di semua masjid di negeri itu, termasuk di Masjid Cina Melaka.

“Masjid Cina Melaka pula dipilih sebagai lokasi untuk cerapan bulan gerhana penuh kali ini, berdasarkan lokasinya yang strategik untuk menyaksikan fenonema yang jarang berlaku ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Melaka hari ini.

Beliau berkata kira-kira 800 hingga 1,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis cerapan berkenaan dan ia turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata pada majlis cerapan itu, orang ramai boleh menyaksikan fenomena itu bermula daripada fasa gerhana bulan separa hingga fasa gerhana bulan penuh, pada ketika bumi akan berada antara bulan dan matahari dalam kedudukan satu garisan.

Abdul Halim berkata fenomena gerhana bulan penuh itu membuktikan kebesaran dan keagungan Allah dalam mengatur perjalanan setiap isi kandung alam semesta.

“Akan berlaku perubahan fenonema alam di langit nanti, yang mana kita akan menyaksikan bulan berwarna kemerah-merahan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS