Paling Popular
Terkini

Ketika PKR hari ini mengumumkan sekumpulan ahli akademik akan diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum bulan depan, seorang penyokong mendakwa parti itu “mempertaruhkan” perkara yang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun salah seorang calon tersebut, Noraishah Mydin Abdul Aziz yang juga seorang penyelidik dan orang kelainan upaya (OKU) membantah tuduhan berkenaan.

Insiden itu berlaku ketika Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli mengumumkan enam profesional sebagai calon pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan itu seorang lelaki dipercayai penyokong parti mula menjerit dan mengkritik kepimpinan PKR kerana memilih bekas penjawat awam dan ahli akademik untuk mewakili parti itu.

"Anda masih ambil semua penjawat kerajaan ini untuk menjadi ahli politik semula, terutamanya di universiti. Pergi dan buat kajian. Jangan terlibat dalam politik," tambah lelaki itu, yang mengejutkan orang ramai yang berada di situ.

Individu yang berpakaian t-shirt kuning dan berseluar pendek itu kemudian segera keluar dari bilik berkenaan selepas meluahkan perasaannya.

Dia bagaimanapun enggan bercakap ketika didekati Malaysiakini.

Kenyataan tersebut tidak dapat diterima oleh Noraishah, 47 seorang saintis perubatan dari Universiti Malaya (UM) yang akan bertanding bagi mewakili PKR di Wilayah Persekutuan.

Semasa dia diberi ruang untuk menjawab, Noraishah, yang mengalami kecacatan spina bifida menceritakan kesulitan dihadapi golongan OKU sepertinya yang dinafikan peluang sejak lahir.

Noraishah berkata, dia juga pernah dinafikan memasuki tadika kerana kecacatannya dan berkali-kali menerima surat daripada ibu bapa kanak-kanak yang mempunyai masalah yang sama untuk meminta bantuan bagi mengatasi masalah mereka sehingga hari ini.

"(Lelaki itu menyentuh) mengenai penyelidikan di universiti. Itu isu yang sangat sensitif kerana saya telah bekerja keras sepanjang hidup saya untuk memahami mengenai spina bifida.

"Sehingga saya pergi ke luar negara, bekerja di makmal terkemuka di dunia mengenai neural tube defect (kecacatan tiub saraf). Kamu boleh mencarinya. Kamu tidak dapat mencari kumpulan penyelidik yang lebih baik mengenai kecacatan neurotik.

“Saya satu-satunya orang di negara ini yang ada makmal berfungsi mengenai neural tube defect .

“Saya selalu menerbitkan (kajian) tentang neural tube defect !

"Namun berkali-kali kumpulan penyelidik saya yang memohon setiap geran Kementerian Pengajian Tinggi, geran penyelidikan asas, geran penyelidikan jangka panjang... dan kami telah dinafikan! Apabila satu-satunya perkara yang saya mahu lakukan ialah membantu kanak-kanak seperti saya berjalan!" katanya.

Pensyarah itu berkata, dia sanggup menyahut cabaran untuk bertanding pada PRU15 sehingga terpaksa meninggalkan tugas sebagai ahli akademik supaya dapat memperjuangkan OKU di negara ini.

“Jadi saya sanggup melepaskan tugas sebagai penjawat awam untuk berada di sini hari ini.

"Hari ini adalah harinya! Orang kurang upaya di Malaysia akan mendapat peluang yang adil. Saya tidak akan berundur dan saya pasti... Saya bukan manusia yang tak ada mulut. Saya di sini untuk semua rakyat Malaysia, untuk semua kanak-kanak seperti saya,” katanya.

Terdahulu, dia juga menegaskan pencalonannya adalah berdasarkan merit dan bukan hanya disebabkan hilang upaya.

Sinis terhadap ahli politik

Sementara itu, Rafizi mempertahankan keputusan parti itu meletakkan golongan profesional pada PRU15.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan pengundi hari ini lebih pentingkan keupayaan calon, selain bersikap sinis terhadap ahli politik dan parti politik.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, sangat jelas isu terbesar yang akan menentukan keputusan pilihan raya kali ini ialah sikap sinis orang ramai terhadap ahli politik dan parti politik.

“Sebab itu anda boleh lihat semakin ramai pengundi merasakan mereka tidak lagi bergantung semata-mata kepada parti politik tetapi mempertimbangkan kemampuan dan kesegaran calon.

"Jadi jika mana-mana pihak memilih untuk bergantung kepada hierarki parti secara eksklusif, atau ahli politik sepenuh masa tanpa membawa kredibiliti dan pengetahuan tambahan dalam pentadbiran atau parlimen, saya fikir kita tidak boleh memerangi sikap sinis ini," katanya kepada pemberita.

Menurut pengarah pilihan raya PKR itu, masa akan menentukan sama ada keputusan meletakkan calon profesional adalah satu perjudian atau sebaliknya.

“Apa yang diputuskan oleh PKR, sama ada anda menyebutnya sebagai pertaruhan atau tidak, hanya masa yang akan menentukan dalam masa kira-kira tiga minggu dari sekarang.

"Tetapi perlu mengambil iktibar dari pemerhatian pengundi untuk melihat bukan sahaja muka baru tetapi juga untuk melihat lebih ramai profesional, kurang ahli politik sepenuh masa mengambil peranan aktif dalam politik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS