Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Debat: Apa budaya kita, baling batu sembunyi tangan? - NGO

Seorang pemimpin NGO hari ini menyifatkan sesi debat antara calon dalam PRU15 penting agar rakyat boleh membuat penilaian terhadap mereka.

Perkara itu dinyatakan ketua pengarah eksekutif Perikatan Gabungan NGO Islam Malaysia (Accin) Mohd Jamaludin Shamsudin ketika menyampaikan ucapan berhubung tuntutan deklarasi NGO pelbagai agama terhadap parti politik untuk PRU kali ini.

Debat terbuka merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam deklarasi tersebut.

“Hanya dengan debat dan dialog terbuka kita boleh lihat ilmu dan seseorang calon boleh dinilai dengan baik.

“(Dengan adanya debat) rakyat tak boleh diselewengkan dengan penipuan kerana ada naratif balas yang boleh menyerlahkan hakikat kebenaran,” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa deklarasi, di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Dia juga mempersoalkan keengganan salah seorang pemimpin tinggi negara untuk berdebat ketika PRU15.

“Apa budaya kita? Baling batu sembunyi tangan?” soalnya.

Walaupun tidak merujuk sebarang nama, jelas dia merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang menolak cadangan Pengerusi PH Anwar Ibrahim, agar calon-calon perdana menteri dipertemukan dalam sesi perdebatan.

Semalam, Ismail Sabri berkata debat tersebut bukanlah keperluan dan "tidak mendatangkan hasil".

Mohd Jamaludin Shamsudin

"Yang pertamanya, bukan budaya kita untuk berdebat...Kalau kita buat berdebat, dia (Anwar) akan sebut segala janji manifesto dia, termasuk janji bulan dan bintang... jadi ia tak perlu," katanya.

Mohd Jamaludin berkata perdebatan sudah sering berlaku ketika sidang Parlimen, justeru tiada masalah untuk ia dilaksanakan.

Walaupun maklum menteri disediakan dengan jawapan lebih awal sebelum sidang, dia berkata debat tetap tiada masalah untuk diadakan jika seorang pemimpin itu berilmu.

“Tapi kalau kita ada debat dan orang itu tahu topik (yang didebatkan) dan dia boleh berfikir, dia boleh bincang dan boleh beri hujahnya dengan begitu yakin… (itu) kalau ada ilmu, kalau tak ada ilmu tak adalah.

“Takkanlah tiap-tiap kali nak debat ada orang bagi skrip?” soalnya lagi.

Selain Accin, antara 28 NGO lain yang terlibat dalam deklarasi tersebut adalah Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Persatuan Buddhist Malaysia (MBA), Malaysia Hindu Sangam (MHS), Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Antara lapan daripada tuntutan deklarasi tersebut adalah pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara, para pengundi diberikan fakta secukupnya daripada semua pihak yang bertanding, serta debat terbuka antara calon khususnya di peringkat nasional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS