Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam usaha menguasai dan melakar kemenangan bergaya dalam PRU ke-15, BN Kedah dijangka bakal menampilkan lebih ramai muka baru tetapi popular dalam kalangan pengundi.

Tinjauan Malaysiakini mendapati langkah itu diambil bagi memenuhi sasaran 70 peratus calon baru seperti yang ditetapkan parti itu di seluruh negara.

Sumber dalaman Umno memaklumkan, BN Kedah bersedia dengan gandingan muka baru dan lama dengan keseimbangan 50 peratus.

"Walaupun muka baru yang diangkat sebagai calon pada PRU ke-15 kali ini, mereka terdiri daripada individu yang dikenali pengundi setempat dan calon boleh menang.

"Mereka (muka baru) mungkin bukan merupakan ketua-ketua bahagian tetapi sudah sekian lama turun padang dan bekerja di kawasan masing-masing," katanya kepada Malaysiakini yang enggan namanya disiarkan.

Pada PRU ke-14 lalu, BN Kedah hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Padang Terap dan Baling berbanding 10 kerusi dimenangi pada PRU ke-13.

Dengan kehilangan lapan kerusi itu menjadi tamparan dan cabaran besar buat kepimpinan Jamil Khir Baharom yang kini mengetuai BN Kedah untuk merampas kembali kerusi-kerusi kubu kuat mereka.

Sementara itu berdasarkan risikan pelbagai sumber Malaysiakini menjangkakan kerusi yang bakal menyaksikan calon baru mewakili BN antaranya Kubang Pasu, Merbok, Langkawi, Pokok Sena, Kulim Bandar Baharu, Kuala Kedah dan Sik.

Antara nama baru yang bakal diangkat ialah Setiausaha Pemuda Umno, Hasmuni Hassan (Kubang Pasu); Pengarah Komunikasi BN Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok); bekas setiausaha sulit menteri besar Kedah Amirshah Siraj (Langkawi); Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaludin (Pokok Sena); Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu Muhar Hussin (Kulim Bandar Baharu); dan Mohamad Saidi Azizan (Kuala Kedah).

Seorang lagi sumber dalaman Umno yang dihubungi bagaimanapun enggan mengesahkan secara rasmi senarai berkenaan namun katanya, nama-nama calon itu hampir akan dicalonkan kecuali jika pucuk pimpinan membuat rombakan akhir.

Katanya, BN Kedah juga akan menampilkan muka lama seperti Mahdzir Khalid untuk mempertahankan Parlimen Padang Terap, dan Abdul Azeez Abdul Rahim akan kekal bertanding bagi kerusi Baling.

"Selain itu kerusi Parlimen Jerlun akan mempertaruhkan ketua bahagiannya Othman Aziz, manakala bekas exco Kedah Suraya Yaakob akan diturunkan di Pendang dan Jamil Khir kekal bertanding di Parlimen sekali lagi.

"Saya yakin BN Kedah kali ini menurunkan masing-masing 50 peratus calon muka baru dan lama selain mengekalkan kerusi MCA di Alor Setar dan calon MIC bagi parlimen Padang Serai," kata sumber tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS