Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kit Siang: DAP tidak tahu apa-apa cadangan ratifikasi Icerd, Statut Rom
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Para pimpinan DAP langsung tidak tahu apa-apa mengenai cadangan kerajaan Pakatan Harapan mengenai ratifikasi Icerd (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan Statut Rom, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu mendedahkan perkara tersebut sambil menolak “cerita” Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa DAP yang memberi tekanan kepada PH berhubung ratifikasi berkenaan.

Lim berkata walaupun berada dalam kegelapan mengenai perkara itu, kesalahan tetap disandarkan kepada DAP.

“(Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin) patut tahu perkara ini melainkan dia juga sudah menjadi seorang penipu seperti Hadi,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Muhyiddin, yang adalah sekutu Hadi dalam kerajaan Perikatan Nasional serta dalang dalam Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH, pernah berkhidmat sebagai menteri dalam negeri semasa pemerintahan singkat gabungan itu.

Lim juga menegaskan bahawa tiada seorang pun pemimpin DAP dalam pentadbiran PH yang memegang sebarang portfolio berkenaan ratifikasi Icerd dan Statut Rom.

“Saya terkejut, seperti mana orang lain juga, apabila Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, bercakap di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September 2018 dan membuat pengumuman mengenai ratifikasi perjanjian-perjanjian PBB ini.

“Kerana inilah saya telah berkali-kali meminta Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah, untuk menyatakan yang kekecohan mengenai ratifikasi pada tahun 2018 ini adalah hasil kerjanya sendiri dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan DAP,” kata Lim.

Jumaat lalu, Hadi mendakwa bahawa dia yang memulakan Langkah Sheraton kerana PAS merasakan kerajaan PH menuju ke arah menghapuskan hak istimewa orang Melayu dengan mahu meluluskan Icerd dan Statut Rom.

Bagaimanapun, Lim berkata presiden PAS itu seakan-akan tidak menyedari bahawa 99 peratus daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia menghuni di negara-negara yang telah meratifikasi Icerd, memandangkan 55 daripada 57 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah berbuat demikian.

“Adakah ini sebabnya Hadi, walaupun menjadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, diharamkan dari ke Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah yang lain?” sindirnya.

Lim juga memberi amaran bahawa Hadi telah memberikan notis, bahawa dia akan menjadi “pemain utama politik toksik penuh penipuan, fitnah, dan sentimen perkauman dan keagamaan pada PRU15" untuk memusnahkan fabrik masyarakat majmuk di Malaysia yang terbentuk dari pelbagai latar belakang kaum, agama, bahasa, dan budaya.

“Kita tidak boleh membiarkan pelampau politik penipuan, kebencian, perkauman, dan keagamaan untuk berjaya,” kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS