Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa dia bukan orang luar di Perak.
Katanya, dia menuntut selama tujuh tahun di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar dan ‘menetap’ dua tahun dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting.
“Jadi saya sembilan tahun tekun, tak pergi mana-mana. Sejak ada di Perak, tak keluar langsung sembilan tahun itu.
“Orang lain keluar juga, pergi Melaka pergi Port Dickson. Saya tidak, sembilan tahun dengan tekun, taat kepada negeri Perak,” katanya ketika ceramah PH di Alor Gajah, Melaka semalam.
Dia berkata demikian sebagai respons kepada video yang dimuat naik penyandang kerusi Tambun, Ahmad Faizal Azumu yang mengalu-alukan hasrat Anwar untuk bertanding di situ, tetapi pada masa sama meningatkan Anwar untuk bercakap dalam loghat Perak.
“Di Tambun kita sebut ayor. Dengar betul-betul, ayor, bukan ayaq. OK terima kasih. Selamat datang,” katanya.
Anwar yang lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 1947 melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1960-an.
Ketika menjadi pemimpin pelajar pula, dia menjalani tahanan di Kem Tahanan Kamunting di Taiping selama dua tahun selepas mengetuai demonstrasi Baling pada 1974.
Anwar lama menjadi ahli parlimen Permatang Pauh, iaitu pada 1982 hingga 1999 dan pada 2008 hingga 2015. Selepas larangan terhadapnya untuk bertanding dalam pilihan raya tamat, dia bertanding dan menang PRK Port Dickson pada Oktober 2018.
Langkahnya untuk bertanding di Tambun dilihat sebagai strategi PH untuk menjadikan Perak sebagai negeri utama pada PRU kali ini.
Pada PRU lalu, Faizal yang bertanding di bawah tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi.