Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kemuka dasar untuk Sabah dan S'wak, bukan jawatan TPM

ULASAN | Minggu lepas bumi Borneo bergegar seketika apabila pimpanan BN dan PH mengumumkan bahawa sekiranya mereka membentuk kerajaan, jawatan timbalan perdana menteri (TPM) akan diperkenalkan semula namun kali ini bukan hanya satu tetapi dua atau tiga jawatan itu akan diwujudkan.

PH menjanjikan dua jawatan TPM, satu untuk mewaklili keseluruhan negeri di semenanjung dan satu lagi dikhususkan bagi negeri-negeri Borneo. BN pula memberikan tawaran lebih menarik dengan menjanjikan tiga jawatanTPM, masing-masing bagi Sabah, Sarawak dan satu lagi untuk melengkapi kuota dari semenanjung.

Persoalan utama sekarang apa pula respons Perikatan Nasional (PN) kepada tawaran BN dan PH ini? Empat TPM termasuk satu untuk Kelantan?

Serupa dengan PRU sebelumnya, blok undi dari Sabah dan Sarawak dalam PRU kali ini memainkan peranan yang amat signifikan dalam menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Umum sudah mengetahui bagaimana Sabah dan Sarawak telah sekian lama terpinggir dalam arus pembangunan sosioekonomi negara. Sarawak contohnya mendahului dalam kategori kemiskinan tegar dengan seramai 62,930 keluarga setakat Februari 2022. Sabah pula di tempat ketiga dengan 40, 938 keluarga (di belakang Kelantan seramai 42,131 keluarga).

Kadar pengangguran bagi Sabah untuk tahun 2021 pula adalah yang tertinggi iaitu 8.2 peratus. Jauh lebih tinggi sekiranya dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang rata-rata berada pada kadar empat hingga tiga peratus. Jika diteroka dengan lebih mendalam, bilangan graduan menganggur di Sabah juga adalah yang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain iaitu 8.4 peratus manakala Sarawak pula dengan kadar 6.1 peratus.

Begitu juga halnya dalam aspek kesihatan di mana nisbah bilangan doktor yang berkhidmat di Sabah adalah seorang doktor untuk 872 penduduk, perbezaan hampir dua kali ganda dengan nisbah di peringkat kebangsaan iaitu seorang doktor untuk 441 orang.

Bagi infrastruktur di Sabah dan Sarawak pula, dana yang diperlukan yang cukup besar bagi membaik pulih sebahagian sekolah yang daif, jalan raya yang teruk dan berbahaya, hospital yang memerlukan peralatan terkini, selain masalah seperti akses telekomunikasi dan internet yang hingga kini masih menjadi isu di sebilangan daerah.

Di Sabah pula isu pendatang tanpa izin yang wujud dari generasi terdahulu dan diwarisi generasi sekarang tanpa sebarang penyelesaian konstruktif menimbulkan keresahan dan kebimbangan terhadap ancaman luar yang mungkin akan berulang seperti yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Oleh itu, adakah dengan mewujudkan semula jawatan TPM atau dalam hal ini, menambah dua lagi jawatan itu akan menyelesaikan permasalahan Sabah dan Sarawak?

tekad politik, bukan jawatan

Konsep TPM bukan sesuatu yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia hanyalah amalan yang diwujudkan sejak Malaysia tertubuh. Lazimnya mereka yang menyandang jawatan ini akan diberikan portfolio yang secara tradisinya dianggap penting atau lebih kanan berbanding portfolio lain seperti jawatan Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran dan Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, kekuatan jawatan TPM ini sedikit sebanyak bergantung kepada portfolio yang disandang. Dahulu ketika BN memerintah, jawatan TPM kebiasaanya akan dipegang oleh timbalan presiden Umno. Pada ketika itu, jawatan TPM dianggap berprestij dan berkuasa kerana sesiapa sahaja yang berada di kerusi tersebut dianggap sebagai bakal perdana menteri.

Namun kita perlu faham, sekuat mana pun jawatan TPM di era BN, kuasa TPM dalam kerajaan secara realitinya hanya terhad kepada portfolio kementerian yang dipegang. Paling penting, kuasa yang ada pada TPM atau mana-mana menteri sekali pun adalah setakat mana yang PM inginkan. Maksudnya, dalam sistem Parlimen Malaysia, kuasa perdana menteri adalah begitu kuat, misalnya berbanding dengan Parlimen United Kingdom.

Jadi sebenarnya apa yang Sabah dan Sarawak benar-benar utamakan bukannya jawatan politik tapi tekad politik di peringkat kerajaan pusat dengan menawarkan dan seterusnya menjanjikan pendekatan dasar yang inovatif bagi permasalahan yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah dan Sarawak.

Walaupun jawatan TPM satu penghormatan kepada Sabah dan Sarawak namun dengan mengambil kira kuasa TPM dalam kerangka sedia ada, ianya hanyalah bersifat simbolik. Dalam keadaan sekarang sudah tiba masanya kita bergerak melangkaui simbolik dan menawarkan sesuatu yang benar-benar mampu memberi impak yang bermakna.

Tawarkan dasar

Sekiranya parti-parti yang bertanding boleh menawarkan jawatan, mengapa tidak ditawarkan penyelesaian dasar.

Sebagai contoh, parti-parti yang bertanding mungkin boleh menawarkan akan memberikan lima peratus hasil cukai yang dipungut dalam negeri Sabah dan Sarawak pada tahun pertama, disusuli semakan kadar untuk tahun seterusnya melalui perbincangan bersama.

Ataupun kerajaan negeri diberi kuasa untuk mengurus sendiri melalui penurunan kuasa semua perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri.

Pendekatan-pendekatan melalui penawaran dasar sebegini yang seharusnya diberi keutamaan oleh parti- parti yang bertanding. Jika parti-parti mengambil pendekatan dengan menawarkan jawatan politik, di manakah titik noktahnya selepas ini? TPM mengikut etnik dan agama?

Buat masa ini persoalan yang paling besar barangkali apakah respon PN kepada tawaran-tawaran ini? Dengan mengambil kira kedudukan PAS dalam PN adakah mungkin ada tawaran empat TPM termasuk untuk Kelantan?


RAHEZZAL SHAH ABDUL KARIM adalah pensyarah kanan Sains Politik dan Kajian Dasar, UITM Sabah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS