Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mail, kamu ini di zaman mana? - Anwar selar keenganan PM berdebat
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 8:38 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyelar Ismail Sabri Yaakob susulan keenganan perdana menteri sementara itu menyertai sesi perdebatan di antara calon-calon perdana menteri parti politik yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Merujuk Ismail Sabri sebagai ‘Mail’, Anwar secara terbuka menolak dakwaan perdana menteri sementara itu bahawa berdebat bukan budaya dalam politik Malaysia.

Sebaliknya, kata presiden PKR itu perbahasan adalah penting kerana pemimpin yang korup dan zalim mampu mengekalkan kuasa sekiranya mereka berjaya memperbodohkan rakyat.

“Mail, kamu ini di zaman mana?

“Parlimen itu tempat bahas. Sekolah yang berjaya, universiti yang berjaya itu menganjurkan pemikiran kritis pemikiran kreatif yang membolehkan perbahasan.

“Ulama-ulama besar zaman silam hidup dengan penuh perbahasan soal jawab dan pembinaan pendapat. bezanya ialah kita guna istilah baik tak maki (dan menghina) orang,” katanya pada majlis jelajah Mega Harapan di Alor Gajah malam semalam.

Anwar minggu lalu mengemukakan cadangan agar tiga calon perdana menteri yang bertanding dalam PRU kali ini dipertemukan dalam acara debat.

Anwar merupakan calon perdana menteri PH, manakala Ismail Sabri ditonjolkan sebagai wakil BN.

Satu lagi gabungan pada PRU15 ialah Perikatan Nasional yang menampilkan Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, bagi Ismail Sabri, amalan berdebat untuk calon perdana menteri bukanlah budaya di negara ini, selain menganggap ia tidak ada faedah yang dapat diperolehi daripada sesi tersebut.

Menurut perdana menteri sementara itu, Umno dan BN akan menyertai pilihan raya umum pada bulan depan dengan kepercayaan yang ada pada rakyat.

Ismail juga berkata, semua calon kini sibuk berkempen di kawasan masing-masing.

Tambahan pula, katanya, ahli politik sedang sibuk berkempen di kawasan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS