Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dua persepsi di sebalik ketiadaan calon nama besar PH di Kelantan'

Ketiadaan nama besar dari kalangan calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di Kelantan boleh membawa kepada dua persepsi, kata pemerhati politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan.

Jelasnya, calon PH di Kelantan dan Terengganu biasanya terdiri daripada wakil PKR dan parti Amanah memandangkan dua negeri berkenaan adalah dominan Melayu.

"Dua persepsi, pertama apakah Amanah telah mengetepikan calon-calon nama besar seperti Husam Musa, ataupun mereka memang tak ada nama besar seperti yang telah bertanding sebelum ini tapi tewas, itu satu persepsi.

"Satu lagi persepsi mereka mahukan muka baru kerana mereka tahu begitu sukar untuk menembusi kubu PAS di Kelantan. Di Terengganu juga mungkin sama, sebab itu mereka mahu menggunakan nama-nama yang belum diuji lagi.

"Lagi pun nama-nama besar ini terkait dengan PAS dan kalau seseorang itu terkait dengan parti PAS, maka hukuman daripada pengundi PAS dan penyokong PAS begitu kuat sekali," katanya kepada Malaysiakini.

Antara pemimpin PH yang merupakan nama besar di Kelantan seperti Husam yang pernah menjadi exco kanan kerajaan PAS Kelantan di bawah pentadbiran Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

Selain itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub antara yang pernah bertanding di Kelantan atas tiket PAS.

Khalid Samad

Soal kepimpinan nasional

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berpendapat ketiadaan nama besar tidak menghalang peluang PH untuk mencipta kemenangan di Kelantan.

“Insya-Allah masih berpeluang di Kelantan kerana rakyat memahami ia persaingan antara pentadbiran yang baik dan yang korup di peringkat nasional.

"Soal personaliti yang ditampilkan adalah soalan kedua dalam konteks Kelantan kerana ianya persoalan kepimpinan nasional," katanya.

Ditanya sama ada penyokong PAS akan menghalang kemaraan PH, Khalid berkata ahli dan penyokong PAS bijak membuat penilaian.

"Orang Kelantan pun dah tahu PAS sekarang bukan macam PAS dulu," katanya lagi.

Noor Hariri Mohamed

Sementara itu Ketua Pemuda BN Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menyifatkan PH tidak memiliki barisan calon berpotensi untuk ditampilkan di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, BN tidak kisah situasi di kem lawan, sebaliknya mereka menawarkan track record (prestasi) memimpin negara sebagai tawaran kepada rakyat.

"Bagi BN Kelantan pula kami tidak kisah siapa saja calon lawan yang bertanding, walaupun empat atau lima penjuru sekali pun kami semua dalam mood bersedia dan berusaha memperkemaskan lagi kaedah menarik pengundi-pengundi baru dari kalangan anak muda.

"Pengundi boleh melihat track record 60 tahun BN mentadbir negara ini tanpa ada kekacauan, malah ekonomi bertambah baik. Apa yang kami kata, kami akan kota. Apa yang kami cakap, kami akan buat.

“Tiada janji kami taburkan, tetapi bukti yang kami sembahkan kepada rakyat," katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS