Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU15 | PKR Alor Gajah memohon kepimpinan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Ginie Lim sebagai calon di kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan depan.

Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan mendapat tentangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ginie yang juga Ketua cabang PKR Alor Gajah berkata, ahli parti telah menyatakan hasrat mereka untuk meletakkan dia sebagai calon dan telah beberapa kali perkara itu disampaikan kepada kepimpinan parti.

“Selepas pilihan raya negeri (Melaka) tahun lepas, ahli akar umbi parti berharap saya akan diletakkan sebagai calon untuk kerusi parlimen itu (Alor Gajah).

“(Mereka) memaklumkan kepada pemimpin parti (hasrat mereka) apabila saya tidak diletakkan sebagai calon tahun lepas (pada pilihan raya negeri Melaka).

"Mereka harap saya akan diberi peluang di Alor Gajah kerana di sinilah kami mempunyai asas yang kukuh," katanya.

Kepimpinan pusat PKR telah menggugurkan Lim sebagai calon bagi kerusi DUN Machap Jaya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lepas.

Ini membawa kepada kekecohan dalam kalangan akar umbi PKR, yang mendakwa calon yang dipilih iaitu Lau Beng Hau bukanlah calon boleh menang dan tidak mendapat sokongan jentera akar umbi.

Ginie merupakan ADUN Machap Jaya dan mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di situ, sebelum kerusi itu dimenangi oleh Ngwe Hee Sem dari MCA dengan majoriti 938 undi.

Lim memberitahu Malaysiakini bahawa sejak pilihan raya negeri tahun lepas, PKR cabang Alor Gajah telah bekerja keras di kawasan itu dengan harapan dia dipilih PH sebagai calon pada PRU15.

Hasrat itu disampaikan walaupun kerusi itu merupakan kerusi tradisi DAP.

Ini kerusi DAP

Pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li memberitahu Malaysiakini bahawa DAP masih bersaing untuk mendapatkan kerusi parlimen berkenaan.

“Alor Gajah tidak pernah menjadi kerusi PKR sama sekali. Ia adalah kerusi DAP, dan terpulang kepada kepimpinan dalam DAP untuk menentukan apa yang terbaik untuk PH secara keseluruhannya,” katanya ringkas.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli telah meminta Lim menghentikan tuntutan PKR cabang Alor Gajah daripada mendapatkan kerusi parlimen berkenaan.

Rafizi dilaporkan bertegas bahawa kerusi itu bukan milik PKR.

“Ginie Lim mohon Cabang Alor Gajah hentikan semua ini. Alor Gajah tidak pernah menjadi kerusi PKR dalam beberapa pilihan raya. Kerusi itu milik DAP.

“Semasa PRN Melaka dalam perbicangan mengenai pembahagian kerusi, mewakili parti, perjanjian muktamad telah dibuat bahawa Alor Gajah diserahkan semula kepada DAP sebagai pertukaran lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri,” kata Rafizi dalam perbualan WhatsApp Majlis Ketua Cabang 2022.

Beberapa kenyataan umum telah dibuat oleh PKR Alor Gajah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mendakwa bahawa pengundi atas pagar mahukan calon yang biasa dengan pengundi.

Ketua Pemuda PKR (AMK) Alor Gajah Denesh Palasubramaniam, dalam satu kenyataan bertarikh 19 Okt, berkata PKR telah membina kekuatan akar umbinya sejak Chua Tian Chang bertanding di kerusi itu pada 1999.

Chua, atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, pernah bertanding di kerusi DUN Selandar pada 1999, yang dikeluarkan daripada kawasan Alor Gajah pada 1986.

Dia tewas kepada Fong Chan Onn dari MCA dengan majoriti 10,739 undi.

Melalui persempadanan semula, Selandar dmasukkan semula ke dalam kawasan pilihan raya Alor Gajah pada 2004.

Pada 2018, kerusi Parlimen Alor Gajah telah ditandingi Bersatu yang merupakan parti komponen PH ketika itu. Kerusi itu dimenangi oleh penyandangnya sekarang Mohd Redzuan Md Yusof.

Bagaimanapun parti itu keluar dari PH pada Feb 2020 berikutan Langkah Sheraton.

Alor Gajah merupakan kubu kuat BN di Melaka selama 44 tahun sehinggalah PH merampasnya pada 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS