Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

GLOBAL | Panel pertama seumpamanya yang dilancarkan oleh NASA akan menjalankan kajian mengenai apa yang digelar oleh kerajaan sebagai "fenomena udara yang tidak dikenal pasti” - biasanya dipanggil UFO - dengan mengumpulkan pakar saintifik daripada bidang fizik sehingga astrobiologi.

Menurut NASA, panel 16 anggota itu akan menumpukan siasatan terhadap penampakan yang tidak diklasifikasikan dan data lain yang dikumpul daripada sektor kerajaan dan komersial.

Siasatan pasukan itu adalah berasingan dengan siasatan rasmi oleh Pentagon berhubung fenomena di udara yang tidak dikenal pasti, atau UAP, yang dilaporkan oleh juruterbang tentera dan dianalisis oleh pegawai pertahanan serta perisikan AS.

Usaha selari NASA dan Pentagon merupakan titik perubahan bagi kerajaan AS selepas menghabiskan beberapa dekad untuk menyangkal, membongkar dan meremehkan pemerhatian mengenai objek terbang yang tidak dikenali, atau UFO, sejak tahun 1940-an.

Istilah UFO, yang dikaitkan dengan piring terbang dan kapal angkasa asing, telah digantikan dengan istilah rasmi oleh kerajaan sebagai "UAP."

Mengumumkan pembentukan panelnya pada bulan Jun, NASA berkata: "Tiada bukti UAP berasal dari luar angkasa."

Laporan Pentagon yang dikeluarkan setahun sebelumnya juga mendapati data tidak mencukupi untuk menentukan sifat lebih 140 penampakan yang boleh dipercayai - yang didokumenkan oleh pemerhati tentera sejak 2004 - kebanyakannya kakitangan Tentera Laut.

Pegawai kanan pertahanan dan perisikan memberi keterangan di hadapan Kongres lima bulan lalu bahawa senarai penampakan UAP yang dikatalogkan sejak itu meningkat kepada 400 tetapi banyak yang tidak dapat dijelaskan, sama ada sebagai teknologi canggih, atmosfera atau sesuatu yang asing.

Antaranya video yang dikeluarkan oleh Pentagon mengenai objek di udara yang membingungkan yang mempamerkan kelajuan dan pergerakan melebihi teknologi penerbangan sedia ada dan tidak kelihatan mempunyai sebarang alat atau kawalan penerbangan.

NASA berkata panelnya akan mengambil masa sembilan bulan untuk merangka strategi sendiri mengenai cara mengatur dan mengkaji penampakan tersebut sebelum mengesyorkan "peta analisis data UAP yang berpotensi oleh agensi itu di masa depan”.

Laporan pertamanya akan diumumkan pada pertengahan 2023.

"Memahami data yang kita ada sekitar fenomena udara yang tidak dikenal pasti ini adalah penting untuk membantu kita membuat kesimpulan saintifik tentang apa yang berlaku di langit kita," kata pentadbir bersekutu NASA, Thomas Zurbechen.

"Data ialah bahasa saintis dan untuk menjelaskan perkara yang tidak dapat dijelaskan" katanya.

Panel itu dipengerusikan David Spergel, yang pernah mengetuai jabatan astrofizik Prince University.

Anggota lain termasuk Anamaria Berea, penyelidik bersekutu di Institut SETI (Search for Intelligence Life) di Mountainview, California; pesara angkasawan NASA dan juruterbang ujian Scott Kelly; Ahli oseanografi biologi Universiti Rhode Island, Paula Bontempi; dan ahli astrofizik Universiti California di San Diego, Shelley Wright.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS