Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri tolak saranan Anwar: 'Debat bukan budaya kita'

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob hari ini menolak cadangan dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, agar calon-calon perdana menteri dipertemukan dalam sesi perdebatan.

Bagi Ismail Sabri, amalan berdebat untuk calon perdana menteri bukanlah budaya di negara ini, selain menganggap tidak ada faedah yang dapat diperolehi daripada sesi tersebut.

"Yang pertamanya, bukan budaya kita untuk berdebat... tak pernah kita buat. Tak mendatangkan hasil pun.

"Kalau kita buat berdebat, dia (Anwar) akan sebut segala janji manifesto dia, termasuk janji bulan dan bintang... jadi ia tak perlu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Menurut perdana menteri sementara itu lagi, Umno dan BN akan menyertai pilihan raya umum pada bulan depan dengan kepercayaan yang ada pada rakyat.

Tambahan pula, katanya, ahli politik sedang sibuk berkempen di kawasan masing-masing.

Pada 19 Okt lalu, semasa berucap di Temerloh, Pahang, Anwar mengemukakan cadangan agar tiga calon perdana menteri yang bertanding dalam PRU kali ini dipertemukan dalam acara debat.

Untuk rekod, Anwar merupakan calon perdana menteri PH, manakala Ismail Sabri ditonjolkan sebagai wakil BN.

Satu lagi gabungan yang menyertai PRU ke-15 ialah Perikatan Nasional yang menampilkan Muhyiddin Yassin.

Kata Anwar, perdebatan itu perlu memberi tumpuan kepada isu dasar dan perancangan agar kesesuaian serta kewibawaan ketiga-tiga calon terbabit dapat dinilai oleh orang ramai.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, BN akan mengumumkan manifesto mereka tidak lama lagi.

Dia juga memaklumkan BN sedang dalam proses meneliti senarai calon yang akan dipilih untuk mewakili parti itu dalam PRU tidak lama lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS