Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU15 | Pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent (GI) Tawfik Ismail telah mengemukakan permohonan untuk bertanding di Bagan Datuk atas tiket Pakatan Harapan pada pilihan raya umum bulan depan.

Mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, Tawfik berkata langkah itu merupakan strategi untuk mengelak undi PH berpecah.

“Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Anak sulung timbalan perdana menteri kedua Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Bagan Datuk merupakan kawasan parlimen yang dimenangi Zahid sebanyak enam penggal sejak 1995.

Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP. P Prabakaran, yang menang di Batu atas tiket Bebas pada PRU lalu, telah menyertai PKR.

Portal FreeMalaysiaToday melaporkan Tawfik telah bertemu beberapa pemimpin kanan PH pada konvensyen gabungan itu Khamis lalu untuk memaklumkan permintaannya.

“Saya berada di konvensyen PH Khamis lalu dan memaklumkan hasrat saya kepada pemimpin gabungan tersebut.

“Saya sekarang berharap dapat berjumpa dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim tidak lama lagi. Untuk menentang bekas timbalan perdana menteri di kawasannya sendiri adalah satu cabaran besar.

“Walaupun saya berdiri sebagai ‘calon rakyat’, berdiri di bawah logo PH adalah ideal kerana saya menyahut cabaran yang besar,” katanya dipetik sebagai berkata.

Ditanya apakah keputusan itu dibuat bersama oleh ahli GI, Tawfik berkata langkah itu merupakan strategi individu.

Tawfik juga tidak mendedahkan apakah PH telah memberikan jawapan, namun menegaskan akan terus menjadi calon bebas jika permintaannya itu ditolak oleh kepimpinan PH.

Malaysiakini telah menghubungi pimpimpin PH untuk mendapatkan maklum balas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS