Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak Mahathir: Amanah tak setuju tapi akur keputusan PH

PRU15 | Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata dia berasa hairan dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) enggan bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Khalid berkata, Amanah berpendirian parti pembangkang seharusnya bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) yang dijadualkan pada 19 Nov ini.

“Seperti yang kita tahu, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad telah mohon untuk bertemu PH, tapi malangnya, pimpinan PH memutuskan untuk tidak meneruskannya.

"Apa yang saya tak faham, terdapat penolakan yang kuat terutamanya daripada PKR.

“Amanah sentiasa berpendirian bahawa pembangkang perlu bersatu supaya kita dapat memaksimumkan kerjasama dengan semua parti pembangkang,” katanya.

Khalid berkata demikian ketika ditemui media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semasa menghadiri mesyuarat jawatankuasa PH berhubung peruntukan kerusi bersama PSM dan Muda hari ini.

Menurut Khalid, mana-mana parti pembangkang yang mendapat sokongan rakyat seharusnya tidak dikesampingkan.

"Muda ada sokongan, begitu juga Pejuang.

"Tetapi saya rasa pendirian Amanah tidak diterima atas apa jua alasan. Cadangan dan permintaan Pejuang untuk berjumpa telah ditolak.

"Tiada sebab mengapa kita tidak boleh bekerjasama dalam pilihan raya," tambahnya.

Bagaimanapun Khalid yang juga penyandang ahli parlimen Shah Alam berkata, pihaknya akan akur keputusan dibuat PH.

“Amanah perlu akur dengan keputusan PH kerana kita tidak mahu akhirnya kita bertelagah. Kita perlu memberi keutamaan kepada PH," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya tanpa Pejuang dan Mahathir.

Ini susulan Mahathir berkata dia bersedia untuk bertemu Pengerusi PH, Anwar Ibrahim untuk cuba membentuk kerjasama politik.

Sebelum ini, Anwar membayangkan masih ada peluang untuk bekerjasama dengan Mahathir dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, parti komponen lain menolak pelawaan itu dengan mengatakan ia tidak mungkin berlaku.

Penyokong PH mengambil sikap berhati-hati terhadap Mahathir kerana mendakwa bekas perdana menteri itu tidak jujur dalam menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS