Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM ulangi gesaan agar PH segera putuskan kerusi Sg Siput

PSM mengulangi gesaan agar Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan segera sama ada pengerusi parti mereka Dr Michael Jeyakumar Devaraj boleh bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput sebagai sebahagian daripada pakatan pilihan raya dengan gabungan itu.

Ketika ditemui di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata dia diberitahu bahawa PH akan membuat keputusan pada majlis presiden gabungan itu.

"Kami berharap pemimpin empat teratas (PH) akan membuat keputusan tidak lama lagi, kerana kita tidak mempunyai banyak masa dan kami berharap yang terbaik," katanya.

Dia bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat dengan jawatankuasa PH yang ditubuhkan untuk mengadakan perbincangan dengan PSM dan Muda mengenai rundingan kerusi.

“Kita bertemu ahli jawatankuasa termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Setiausaha Penganjur DAP Steven Sim. Kami memberitahu mereka tentang hasrat untuk bertanding di Sungai Siput.

"Kami merasakan Jeyakumar (di atas) adalah calon yang boleh menang untuk menentang presiden MIC SA Vigneswaran, yang dijangka akan diturunkan di Sungai Siput," kata Arutchelvan.

“Pada asasnya, kita meletakkan Sungai Siput sebagai perbincangan penting. Kami berpendapat bahawa untuk pakatan pilihan raya berfungsi, kita perlu menelitinya.

"Mereka berkata mereka akan membawa perkara itu ke majlis presiden PH," katanya.

Arutchelvan berkata pihaknya tidak meminta banyak kerusi atau menetapkan sebarang syarat sukar untuk bekerjasama dengan PH.

“Apa yang kami minta adalah mudah,” katanya sambil menjelaskan parti itu meminta hanya bertanding di beberapa kerusi yang tidak dipegang oleh mana-mana penyandang PH.

Bagaimanapun, Arulchelvan tidak mendedahkan jumlah kerusi yang diminta PSM.

Awal bulan ini, Vigneswaran mengumumkan hasrat bertanding di Sungai Siput, yang pernah menjadi kubu kuat MIC.

Untuk rekod, bekas presiden MIC, S Samy Vellu pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput selama lapan penggal dari September 1974, sebelum tewas kepada Jeyakumar pada PRU Mac 2008.

Ahli Parlimen Sungai Siput sekarang ialah Kesavan Subramaniam dari PKR, yang menewaskan SK Devamany dari MIC di kerusi itu pada PRU 2018.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, terdapat beberapa lagi kerusi yang masih dalam rundingan dalam kalangan parti komponen PH, Muda dan PSM.

"Ada beberapa lagi kerusi yang masih dalam rundingan yang mungkin kita tidak beri mandat untuk membuat keputusan dan kemungkinan besar akan dibangkitkan dalam majlis presiden," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS