Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH, Muda runding kerusi esok
Diterbitkan:  Oct 22, 2022 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Pakatan Harapan dan Muda akan bermesyuarat esok bagi membincangkan soal peruntukan kerusi PRU15.

Muda memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu akan diadakan jam 12.30 tengah hari esok di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Dikatakan arahan terperinci telah diserahkan kepada wakil PH sebelum mesyuarat esok.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula memaklumkan dia telah bertemu Majlis Presiden PH berhubung rundingan dengan Muda.

“Kita telah buat keputusan semalam, saya jumpa dengan Anwar (Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Mat Sabu (Presiden Amanah, Mohamad Sabu).

“Kita telah ada kerangka (pakatan pilihan raya) dan arahan telah diberi kepada Jawatankuasa Perundingan, mesti berjumpa pihak Muda Ahad (esok),” katanya pada satu kenyataan.

Semalam, Loke menyatakan keyakinannya untuk kerjasama dengan Muda.

“Kadang-kala mungkin proses itu lambat, mungkin ada kekecewaan di situ, itu saya faham. Tapi apapun ada proses sedang berjalan dan bagi saya, tidak ada apa-apa halangan (untuk) kerjasama dengan Muda,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Muda Amira Aisya Abd Aziz mendesak agar PH menyegerakan perbincangan rasmi mengenai peruntukan kerusi PRU15.

Menurut Amira Aisya, perbincangan rasmi belum diadakan setakat ini.

Dia juga berkata telah menghubungi pemimpin PH untuk bertemu majlis presiden gabungan itu mengenai isu berkenaan.

Muda sebelum ini bersetuju dengan tiga syarat PH untuk menjadi sebahagian pakatan pilihan raya mereka.

Ini termasuk Muda menyokong calon perdana menteri PH Anwar Ibrahim dan bersetuju tiada parti yang akan bersaing untuk kerusi yang disandang oleh penyandang masing-masing.

Muda juga dikehendaki mendapatkan kebenaran Majlis Presiden PH jika ingin bekerjasama dengan parti lain.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata gabungan itu sedang mempertimbangkan pakatan pilihan raya dengan Muda untuk PRU15 tetapi bukan menerimanya sebagai parti komponen.

Anwar berkata adalah sukar untuk membawa Muda ke dalam PH sebagai parti komponen kelimanya. Ini kerana ia memerlukan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS