Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hak parti pilih calon - Annuar
Diterbitkan:  Oct 22, 2022 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Menjadi calon bukan hak peribadi, sebaliknya segala keputusan ditentukan pucuk kepimpinan parti, kata Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata setiap anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan semangat untuk berkorban dan berkhidmat sepenuhnya kepada parti, walaupun tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kalau mahu menjadi calon untuk bertanding mewakili organisasi atau parti, itu hak parti untuk memilih bukan hak kita, tetapi kalau tetap nak jadi calon untuk bertanding, cari borang sendiri," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Kelantan di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor, di Kota Bharu hari ini.

Katanya pemilihan calon juga perlu memenuhi beberapa kriteria utama seperti direstui pucuk pimpinan, mendapat persetujuan jentera parti serta disenangi rakyat.

Justeru, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata amalan sabotaj atau ‘cah keting’ tidak sepatutnya wujud kerana ia bukan sahaja merugikan parti, malah memberi kesan kepada diri sendiri.

“’Cah keting’ ini istilah asalnya digunakan dalam permainan bola sepak kerana kita bukan sahaja mencederakan orang tetapi mencederakan diri sendiri. Oleh itu, amalan ini tidak perlu ada dalam politik,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati anggota BN supaya tidak terjebak dengan amalan ‘cah keting’ jika tidak tercalon pada PRU15 nanti.

- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS