Manifesto Pakatan Harapan antaranya akan menyentuh agenda menangani perubahan iklim dan penduduk yang semakin tua, kata ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP Howard Lee.
Sekiranya PH menawan semula Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Lee berkata pakatan pembangkang akan mendesak pembentangan Pelan Nasional Persediaan Komuniti Menua dan Ekonomi Penjagaan di Parlimen.
“Kerajaan PH pasti bukan sahaja akan menggubal dan melaksanakan dasar, tetapi juga membentangkan rancangan itu kepada parlimen.
“Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya semakin tua, jika kita mengikut statistik dan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Adakah kita mahukan situasi negara mempunyai ramai penduduk tua tanpa penjaga yang mencukupi untuk menjaga mereka, atau adakah kita mahu melakukan sesuatu dari sekarang?" katanya kepada pemberita pada majlis ‘Dialog Manifesto Bersama Rakyat’ anjuran Gabungan Bertindak Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor hari ini.
Memetik statistik PBB bahawa 17 peratus penduduk Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas menjelang 2040, penyandang kerusi DUN Pasir Pinji itu menegaskan bahawa permintaan untuk penjagaan akan meningkat dengan pesat.
“Pelan itu juga akan mengkaji pemberian insentif dan elaun kepada penjaga.
“Mereka yang menjadi penjaga tidak seharusnya membuat keputusan antara kerjaya dan menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua," katanya.
Di samping itu, dia berkata PH juga berjanji untuk meneruskan agenda perubahan iklim bagi memastikan terdapat perlindungan kewangan kepada setiap rumah.
“Apabila Pasir Pinji dilanda puting beliung, proses penyampaian bantuan sangat teruk dan rakyat menderita.
“Perbincangan telah dibuat mengenai cara bagaimana kami boleh memanfaatkan dan menggerakkan pendekatan semua masyarakat untuk menyampaikan bantuan terutamanya dalam keadaan cuaca yang melampau.
“Kami bercakap mengenai liputan perlindungan sehingga RM50,000 bagi setiap isi rumah pada satu-satu kejadian dan ideanya adalah untuk menggerakkan semua sumber termasuk sektor swasta untuk menyampaikan bantuan.”
Ikrar lain, katanya, termasuk memastikan gaji sara hidup yang sama untuk pekerja dengan latar pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET).