Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Seremban manakala Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin kekal di Parlimen Rasah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Loke mengumumkan perkara itu ketika berucap pada majlis pembukaan Bilik Gerakan Utama Parlimen Rasah di Seremban hari ini.
“(DAP) Negeri Sembilan selesai isu calon dan jentera awal-awal, persiapan kita dua minggu sebelum penamaan calon.
"Kita dah bersedia untuk tawan Parlimen Seremban dan Rasah… kita bukan sahaja nak menang Parlimen itu, tapi ada tanggungjawab bantu rakan pertahan Port Dickson, Tampin dan (merampas) Kuala Pilah,” katanya.
Loke ialah penyandang kerusi Parlimen Seremban selama dua penggal dan pada PRU14 lepas, beliau menang dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chong Sin Woon dan calon PAS Shariffuddin Ahmad.
Cha pula menang dengan majoriti 46,867 undi mengalahkan calon BN Ng Kian Nam, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa (PAS) dan David Dass (Parti Alternatif Rakyat Malaysia) pada PRU14.
Mengulas pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon kerusi Parlimen Port Dickson semalam, Loke berpandangan ia satu keputusan tepat selain calon paling sesuai menggantikan Anwar.
Khamis lepas, Anwar mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
- Bernama