Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno, MIC berebut kerusi Parlimen Hulu Selangor

PRU15 | Umno dan MIC di Selangor dikatakan berselisih faham antara satu sama lain berhubung isu kerusi Parlimen Hulu Selangor, kata sumber dalam BN.

Malaysiakini difahamkan bahawa Umno bahagian menuntut kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Umno mahu bertanding di Hulu Selangor untuk pilihan raya ini. Ini terutamanya selepas (MIC) kalah di kerusi itu pada 2018," kata sumber yang enggan namanya didedahkan.

Kerusi berkenaan dianggap kerusi tradisi MIC kerana parti berasaskan kaum India itu telah bertanding di situ dan mewakili BN sejak 1986.

Untuk rekod, MIC menang sembilan kali di kawasan majoriti Melayu itu dan tewas dua kali di kerusi itu pada 2008 dan 2018 kepada PKR.

Sumber itu mendakwa tuntutan Umno itu telah mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku sabotaj berlaku sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada mereka.

"Umno sangat mahukan kerusi itu. Mereka masih memintanya. Jadi, jika kerusi itu diserahkan kepada MIC, dikhuatiri mereka (Umno dan MIC) mungkin tidak bekerjasama (untuk pilihan raya)."

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan naib presiden MIC, T Mohan untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Serah kepada pucuk pimpinan

Mat Nadzari mengesahkan bahawa bahagiannya telah mengemukakan permohonan untuk meletakkan calon daripada Umno mewakili BN di situ, namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.

“Hari ini kekuatan kita (ahli BN di Hulu Selangor) hanya kira-kira nisbah 1:7 secara amnya dan nisbah 1:5 kepada jumlah pengundi Melayu.

“Jadi yang selebihnya tu orang Melayu di luar yang bukan ahli kita (Umno) terutama yang pernah menyokong kita, dah lari, ada keinginan hendak. Jadi, orang- orang macam ini kita nak tekankan.

"Jika kita mahu menang, kumpulan ini sangat penting, sentimen mereka macam mana?" katanya kepada Malaysiakini.

Mat Nadzari juga menolak dakwaan bahawa Hulu Selangor adalah kerusi tradisi MIC, malah parti komponen BN lain telah bergilir-gilir bertanding di situ.

"Ikut sejarah, yang pertama bertanding (Hulu Selangor) adalah Umno. Selepas itu, MCA, Gerakan dan MIC bergilir-gilir bertanding,’ katanya.

Nafi dakwaan sabotaj

Ditanya mengenai dakwaan Umno mungkin mensabotaj BN pada pilihan raya Hulu Selangor jika MIC bertanding, Nadzari menafikannya dengan sekeras-kerasnya.

Sementara itu, Mohan, yang dikatakan menjadi pilihan MIC untuk bertanding di kerusi Hulu Selangor, berkata pihaknya menyedari tuntutan Umno itu.

Menurut pemimpin MIC itu, dia mula bertugas di kawasan itu sejak 2019, tetapi akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN berhubung pencalonannya.

”Saya lepaskan (serahkan) terpulang pada pucuk pimpinanlah, apa mereka buat mereka setuju, kita ikut sajalah," katanya kepada Malaysiakini.

Mohan berkata dia faham mengapa Umno mahu bertanding di situ pada PRU15, memandangkan ia adalah kawasan majoriti Melayu.

"Bagi saya dia minta tu hak mereka, (kerana) 60 peratus pengundi Melayu, pasal tu dia minta kerusi tu untuk Umno, itu hak mereka. Tapi ini kerusi tradisi MIC,” katanya.

Dia bagaimanapun menolak kebimbangan bahawa Umno akan mensabotaj mereka dalam pilihan raya nanti.

“Saya bukan musuh mereka (Umno). Kita berkongsi musuh yang sama, iaitu Pakatan Harapan (PH). Dan jika Umno mendapat kerusi itu, saya akan tetap menyokong mereka,” katanya.

Calon PKR

Dalam pada itu, Malaysiakini dimaklumkan penyandang ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow terpaksa bersaing dengan Dr N Sathia Prakash, pemimpin akar umbi PKR yang dikatakan akan merebut kerusi berkenaan.

Prakash, yang merupakan pengasas rangkaian klinik SP Care Group, adalah penyandang ketua cabang PKR Hulu Selangor.

Leow ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan dia berhasrat mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

"Saya telah berkhidmat kepada rakyat di sini selama lebih 13 tahun. Tetapi apa pun, saya serahkan kepada kepimpinan parti," katanya.

Dia juga ditanya mengenai khabar angin bahawa Prakash juga berharap diletakkan sebagai calon Hulu Selangor bagi mewakili PH.

“(Jika Prakash dipilih) tidak ada isu. Sebab itu saya kata, terpulang kepada pucuk pimpinan parti. Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan terbaik untuk parti," katanya.

Prakash ketika dihubungi mengesahkan namanya dihantar kepada pimpinan PKR.

Katanya, pencalonan itu dibuat berdasarkan keputusan semasa mesyuarat PKR Hulu Selangor, di mana pemimpinnya mencadangkan nama ketua cabang itu dipilih sebagai calon.

"Tetapi semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan, kepada Datuk Seri (Anwar Ibrahim),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS