Seorang penyandang kerusi parlimen mencadangkan agar Abdul Hadi Awang dimaklumkan mengenai keinginan Yang di-Pertuan Agong melihat bagaimana perjalanan pilihan raya umum (PRU) akan datang dijalankan.
Kata Charles Santiago semalam Agong menzahirkan harapannya agar semua pihak mengambil pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen
“Hadi sentiasa cuba memburuk-burukkan DAP untuk mendapatkan sokongan buat dirinya sendiri.
"Lihatlah negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS dan orang akan tahu mereka ini hanya berpolitik,” katanya.
Tambah penyandang kerusi parlimen Klang itu, presiden PAS terbabit gemar melontarkan tuduhan tidak berasas kepada DAP, justeru perlu dimaklumkan mengenai keinginan Agong.
“Adakah Hadi membaca hasrat baginda agar semua parti politik dan ahli politik berrkempen dengan saling menghormati antara satu sama lain?
"Jika tidak, seseorang perlu tolong menghantarkannya kepada Hadi,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada masa sama, Charles berkata, dia tetap tidak terkejut dengan sikap serta dakwaan dibuat presiden PAS berkenaan.
Tolak ahli politik perkauman
Semalam Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua calon dan penyokong parti politik supaya mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen untuk PRU ke-15 ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka turut menasihatkan calon agar bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang, selain akur kepada undang-undang.
"Seri Paduka mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh para calon dan penyokong mereka.
"Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen," katanya.
Beberapa hari lalu Abdul Hadi mengaitkan DAP dengan komunis dan menggesa agar parti berkenaan ditolak dalam PRU akan datang.
Abdul Hadi menuduh DAP cuba "membenihkan semula ideologi komunisme" di negara ini dan ia wajar ditentang habis-habisan.
Kata Charles, Abdul Hadi sebenarnya sedang "bermain dengan api" dalam usahanya memecah-belahkan perpaduan antara kaum di negara ini.
“Ini boleh membawa kesan yang serius untuk Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum.
"Saya pasti Hadi sedar perkara ini tetapi fokusnya adalah untuk kekal berkuasa menggunakan apa saja cara yang ada,” katanya.
Oleh itu, Charles menggesa rakyat Malaysia menolak mana-mana "ahli politik perkauman dan keji" yang cuba mengancam perpaduan rakyat di negara ini, bermula dengan Abdul Hadi.
"Dan sertakan sekali ahli politik Umno," tambahnya.