Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MEF: Pekerja perlu diberi cuti bergaji untuk keluar mengundi

Syarikat atau majikan perlu memberi cuti bergaji kepada kalangan pekerja mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab itu pada hari pengundian PRU15.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Dr Syed Hussain Syed Husman berkata perkara itu terpakai kepada majikan yang menetapkan 19 Nov 2022 sebagai hari bekerja atau yang melaksanakan sistem giliran atau syif.

“Pekerja yang merupakan pemilih berdaftar dan dijadualkan bekerja pada sebelah siang bagi syif 12 jam hendaklah diberi masa yang munasabah untuk mereka mengundi pada hari pengundian 19 Nov, 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata bagi majikan yang menetapkan 19 Nov 2022 sebagai hari cuti atau hari rehat maka, pekerja yang merupakan pengundi berdaftar bebas melaksanakan hak mereka sebagai pemilih pada hari pengundian dan tidak ada keperluan untuk majikan memberikan hari rehat tambahan.

Syed Hussain berkata selain itu mungkin terdapat keadaan apabila pekerja yang merupakan pemilih berdaftar perlu membuang undi di pusat pengundian yang terletak di luar stesen kerja dan 19 Nov 2022 adalah hari bekerja biasa bagi pekerja tersebut.

“Justeru adalah munasabah untuk syarikat menghendaki pekerja tersebut memohon cuti tahunan/cuti tanpa gaji bagi tujuan tersebut,” katanya.

Dia berkata bagi pekerja yang merupakan pengundi berdaftar dan perlu membuang undi melalui undi pos pada 15 Nov 2022, masa yang munasabah harus diberikan kepada mereka yang bekerja pada hari tersebut untuk membolehkan mereka mengundi secara undian pos.

Katanya lagi, semua langkah itu sebagai satu kewajipan yang adil dan munasabah yang dikenakan ke atas majikan untuk memastikan semua pekerja yang merupakan pengundi berdaftar diberi peluang sewajarnya untuk mengundi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS