Senarai calon Umno yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dimuktamad dalam masa sehari dua lagi, kata Naib Presiden parti itu Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Mahdzir, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata masih ada masa sebelum perkara itu dimuktamadkan kerana tarikh penamaan calon ialah pada 5 Nov depan seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“...tak banyak dah yang nak diselesaikan (muktamadkan senarai calon),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET@KPLB di Kuala Lumpur hari ini.
SPR menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.
Ditanya sama ada terdapat muka baharu yang bertanding pada PRU15, Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata: “Perkara itu sudah tentu dan itulah yang sering berlaku dalam setiap PRU.”
- Bernama