Paling Popular
Terkini

Ismail Sabri Yaakob berjanji akan meluluskan semua perrmohonan penjaja dan peniaga kecil sekiranya dia dilantik sebagai perdana menteri selepas PRU15.

Dia berkata demikian ketika berucap kepada ribuan penjaja dan peniaga kecil di Dataran Merdeka hari ini.

Dia menggesa supaya komuniti penjaja dan peniaga kecil membantunya apabila tiba gilirannya meminta bantuan mereka.

"Penjaja sentiasa dekat dihati saya, saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya sekolah rendah lagi.

"Saya menjadi penjaja jual limau di kaki lima, jual ikan di pasar minggu pekan sehari Temerloh.

"Apa yang penjaja bangkitkan saya faham sebab saya pernah menjadi penjaja. Hidup saya sama dengan penjaja.

"Apa yang penjaja rasa, saya dah melalui dulu sebab tu setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan," katanya pada Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

Ismail Sabri memberitahu baru-baru ini dia menerima surat daripada persatuan penjaja, memintanya menjadi penaung.

Gambar hiasan, Pekan Sehari Temerloh.

"Saya dengan ini bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia.

"(Selaku) penaung, kita akan jumpa dengan persatuan, akan bantu persatuan penjaja.

"Saya cuma minta kalau saya pohonkan bantuan, tolong bantu saya.

"Terima kasih, warga penjaja akan gunakan hak mereka 19 Nov dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh bantu dan membela nasib penjaja," katanya.

Terpulang tafsiran

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjawab secara terperinci apakah jenis bantuan yang akan dia minta daripada komuniti penjaja.

Apabila diminta untuk mengulas lanjut, dia memberitahu media bahawa ia terpulang kepada tafsiran orang lain.

Ketika ditanya jika ia boleh ditafsirkan sebagai 'saya tolong awak, awak tolong saya' (you help me, I help you), Ismail Sabri menjawab "Yalah you help me I help you okay-lah."

"Terserah kepada mereka untuk membuat atau beri pandangan mereka apa maksud itu," jelas perdana menteri sementara itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS