Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong Datuk Samsudin Yahya meninggal dunia petang tadi.
Berita pemergiannya itu dikongsikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
"Semoga roh Allahyarham Datuk Samsudin Yahya, Allah letakan bersama orang soleh dan beriman. Takziah kepada Datin Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima dengan kehendak Allah," katanya.
Samsudin, 67, difahamkan tidak sedarkan diri dalam penerbangan ke Kota Kinabalu yang berlepas dari Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi, dan punca kematian masih belum dipastikan.
Allahyarham dipilih sebagai ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004 selepas memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional, juga merupakan mantan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi bagi penggal 2013-2016.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.
- Bernama