Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir yakin pertandingan banyak penjuru beri kemenangan pada BN

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid yakin kemenangan akan memihak kepada BN sekiranya berlaku pertandingan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Itu baik untuk kita (banyak penjuru). Baik sebab (apabila) banyak sangat, kita menanglah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET di Hotel Premiera, Kuala Lumpur hari ini.

Menepis anggapan ia memberi implikasi kepada BN, Menteri Pembangunan Luar Bandar itu tidak menolak jika pada masa depan akan terdapat lebih banyak pertandingan pelbagai penjuru, dengan adanya parti-parti baru.

“Dalam sebuah negara demokrasi ini, saya ingat kita tak boleh kiralah semua orang (parti) akan bertanding. Dia akan jadi empat lima enam penjuru.

“Jadi tu saya ingat, makin banyak parti ni, makin banyak lagilah (penjuru).

“Tu tak jadi sepuluh lagi. Mungkin satu hari nanti sepuluh penjuru sebab makin hari makin banyak penjuru,” kata Ketua Umno bahagian Padang Terap itu.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai persediaan BN menghadapi pertandingan banyak penjuru, selepas Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertembung di 27 kerusi parlimen yang kritikal dalam PRU15.

Katanya, senarai penamaan calon BN akan diumumkan dalam masa terdekat lagi.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ghani Salleh mengumumkan tarikh pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 Nov.

Manakala hari penamaan calon pula pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen 14 hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS