Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli cadang ambil tindakan undang-undang

Sekumpulan aktivis Orang Asli bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) selepas pejabatnya di Gua Musang mengeluarkan arahan melarang masyarakat di situ menerima pelawat tanpa kebenaran.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nasir Dollah (gambar judul, atas) turut menyoal jika arahan itu mempunyai motif politik kerana ia dikeluarkan ketika menjelang PRU15.

Nasir berkata larangan itu boleh memudaratkan kebajikan masyarakat kerana ia menghalang mana-mana pihak luar termasuk NGO daripada memasuki perkampungan Orang Asli di Gua Musang tanpa kebenaran Jakoa, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

"Saya secara peribadi memang tidak berapa bersetuju dengan tindakan Jakoa melarang orang luar masuk kerana yang pertamanya, hari ini adalah kita akan menghadapi PRU dan sudah tentu saya fikir pihak lawan akan memberi satu tanggapan yang negatif tentang perkara ini.

"Mungkin pihak lawan akan berkata ini satu sekatan atas parti-parti lawan untuk masuk kampung Orang Asli dan ini beri gambaran tidak baik kepada demokrasi negara," katanya kepada Malaysiakini.

Nasir berkata arahan itu dilihat tidak wajar dan diharapkan kerajaan mempertimbangkannya semula apatah lagi saat berhadapan musim tengkujuh.

"Saya bimbang bila berlaku bencana seperti banjir. Selalunya manusia yang pertama membantu Orang Asli di pendalaman adalah NGO dan disusuli agensi-agensi kerajaan.

"Jadi kalau sekatan ini diberi tumpuan lebih pada NGO dan orang perseorangan, ini saya lihat tidak sepatutnya berlaku.

"Kerana kalau berlaku banjir, sudah tentu NGO dan individu-individu yang beri bantuan tidak dapat masuk jadi Orang Asli tak dapat dibantu," katanya lagi.

Gambar fail.

Semalam, tular satu salinan surat Pejabat Jakoa Gua Musang yang mengandungi arahan kepada semua ketua kampung Orang Asli di daerah ini supaya melarang orang luar dari memasuki kawasan mereka tanpa kebenaran ketiga-tiga agensi berkenaan.

Arahan bertarikh semalam (19 Okt) menyatakan keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana daerah Gua Musang pada 12 Okt lalu.

Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat Jakoa untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

Kesahihan arahan

Katanya lagi, Nasir turut menyoal keabsahan arahan itu dan memetik Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan kepada setiap warganegara Malaysia untuk bebas berpesatuan dan bergerak.

"Kita mempertimbangkan untuk ambil tindakan undang-undang disebabkan tiada perbincangan dengan semua pihak," jelasnya.

Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang aktif mewakili masyarakat Orang Asli dalam memperjuangkan hak mereka ke atas tanah adat berkata Jakoa tidak mempunyai sebarang urusan untuk menghalang Orang Asli menerima pelawat.

Dia berkata arahan supaya pengunjung mendapatkan kebenaran daripada tiga agensi berasingan juga adalah tidak sah.

Gambar fail.

"Ini adalah perintah yang jelas menyalahi undang-undang. Jakoa adalah sebuah badan yang sepatutnya menjaga kebajikan Orang Asli dan tiada urusan menyekat hak mereka untuk menerima pelawat.

"Keperluan yang didakwa oleh Jakoa untuk mendapatkan kebenaran daripada tiga badan berkanun berasingan bukan sahaja membebankan tetapi juga jelas menyalahi undang-undang kerana Orang Asli adalah rakyat Malaysia dan berhak menerima pelawat yang difikirkan sesuai oleh mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Rajesh juga memetik Perlembagaan Persekutuan, mengatakan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh jabatan itu berpotensi melanggar perlembagaan.

"Menjadi pendapat undang-undang kami bahawa Jakoa telah bertindak di luar kewajipan berkanunnya dengan bertindak bertentangan dengan kepentingan Orang Asli.

"Jakoa mesti bertindak demi kepentingan Orang Asli dan mesti memastikan Orang Asli dirujuk, dan persetujuan mereka diperoleh sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS