Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PRU15: Hari mengundi 19 Nov, penamaan calon 5 Nov
Diterbitkan:  Oct 20, 2022 12:23 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Tarikh pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada 19 Nov.

Hari penamaan calon pula pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen 14 hari.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR Ghani Salleh pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya sebentar tadi.

PRU15 diadakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen pada 10 Oktober.

Bagaimanapun hanya tiga negeri – Perak, Perlis dan Pahang – akan turut mengadakan pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut diadakan serentak adalah pilihan raya kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah, yang ditangguhkan susulan darurat bagi mencegah penularan Covid-19 sebelum ini.

Negeri-negeri Pakatan Harapan dan PAS tidak akan mengikuti langkah itu.

Tempoh penggal bagi Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor–yang telah mengadakan pilihan raya negeri lebih awal–pula masih panjang.

Pada sidang mediannya itu, Ghani juga memaklumkan bahawa pengundian awal akan diadakan pada 15 November.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 18 November 2022 (Jumaat),” katanya.

SPR akan menggunakan daftar pemilih terkini hingga daftar pemilih tambahan Ogos 2022 yang dikemaskini pada 9 Oktober lalu.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt 2022. 

“DPPR bagi PRU15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih,” katanya.

Daripada jumlah itu, 20,905,366 adalah pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. 

Ghani kemudiannya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata DPPR bagi PRU15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Okt.

Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 31 Okt.

Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 10 Okt untuk PRU15 dan daripada 13 Okt 2022 bagi PRK DUN Bugaya. 

Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian (online).

Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 Nov bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 23 Okt bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 26 Okt bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Untuk memudahkan proses penamaan calon, Abdul Ghani menasihatkan bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 dan PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon. 

Bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS