Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tolak Bersatu demi elak kemudaratan besar - Zahid
Diterbitkan:  Oct 19, 2022 12:00 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Umno membuat keputusan untuk menolak bekerjasama dengan Bersatu kerana mahu mengelakkan kemudaratan yang besar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, selain itu, jalinan kerjasama tersebut tidak selaras dengan agenda penyatuan ummah, lebih-lebih lagi parti berkenaan ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan Umno dan BN.

Malah katanya, keputusan menolak Bersatu tidak bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti.

“Apakah rasional Umno diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Zahid mengulas naratif Umno dilabel sebagai pemecah belah ummah kerana menolak kerjasama dengan Bersatu.

Sambil menafikan tohmahan itu tidak benar, katanya, Umno itu sendiri sebenarnya memayungi penyatuan ummah.

“Agenda itu malah terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara.

“Seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat Barisan Nasional (BN).

Umno, MCA, MIC, PBRS dan 'Friends of BN' bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia saling menghormati.

“Inilah jua asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini,” katanya.

Sebaliknya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, usaha memecah belah bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa.

“Bermula dengan PKR, disusuli kewujudan Bersatu, Amanah dan Pejuang memangkin kepada perpecahan.

“Para pimpinannya malah pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu.

“Rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi,” katanya.

Sebaliknya, kata Zahid, Umno tetap bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama, serta tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah, dan merobek penyatuan bangsa Malaysia.

Justeru, dia menggesa pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini supaya harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan mereka.

"Usah terkhilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS