Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengeluaran balak: Peka anggap PH hipokrit
Diterbitkan:  Oct 18, 2022 9:02 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kekecewaan mereka terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal di negeri terbabit.

Mneurut Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), ketika negara dilanda pelbagai bencana alam akibat kegagalan pengurusan hutan, Negeri Sembilan sepatutnya melindungi khazanah alam negeri supaya menjadi benteng perlindungan daripada ancaman pemanasan global dan perubahan iklim yang menjana cuaca ekstrim sekarang.

"Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan di negeri pentadbiran mereka," kata pertubuhan itu dalam kenyataan hari ini.

Tambah Peka, sebelum ini Anwar selaku ketua pembangkang pernah meminta NGO berkaitan alam sekitar menghantar soalan berkaitan kepadanya untuk dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Anwar juga, kata Peka, pernah menjemput NGO alam untuk menghadiri Simposium Pemanasan Global dan Perubahan Iklim di Parlimen, namun pada masa sama Negeri Sembilan yang ditadbir PH sendiri mempromosikan tender "mengeluarkan balak di hutan simpan kekal" di negeri berkenaan.

Mengiringi kenyataan Peka itu ialah iklan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengenai notis bertarikh 5 Okt lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di hutan simpan Lenggeng dan hutan simpan Gapau.

Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari 26 Okt ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS