Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Liow calon tunggal MCA-BN untuk Bentong, kata Wee
Diterbitkan:  Oct 18, 2022 6:25 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

MCA mencadangkan agar bekas presidennya, Liow Tiong Lai, sebagai satu-satunya nama untuk dicalonkan sebagai mewakili BN bagi merebut kerusi parlimen Bentong.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata keputusan tersebut sudah dipersetujui sejak kira-kira satu setengah tahun lalu.

“MCA telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Liow sejak satu setengah tahun lalu dan dia merupakan calon yang paling layak untuk kawasan Bentong,” katanya melalui hantaran di media sosial.

Tambah Wee walaupun Liow kalah pada PRU lalu dia tetap memberikan khidmat di kawasan tersebut, malah membantu penduduk Bentong jika mereka menghadapi masalah.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda, Liow bertungkus-lumus mengumpul dana dan barangan bagi membantu rakyat.

“Dari dahulu sampai sekarang, dia sentiasa memelihara hubungan yang baik dengan persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan setempat, malah parti-parti komponen BN yang lain,” katanya.

Kenyataan Wee itu dibuat sebagai reaksi MCA kepada kempen DAP mengumpul dana bagi membolehkan parti itu mempertahankan kerusi Bentong.

Liow memenangi kerusi Bentong sejak PRU 1999 dan mempertahankannya sehinggalah pada 2018 apabila dia kalah kepada calon DAP-Pakatan Harapan (PH), Wong Tack.

Wong memperoleh 25,716 undi berbanding Liow 23,684 undi. Seorang lagi calon yang bertanding di Bentong pada 2018 ialah wakil PAS, N Balasubramaniam yang hanya memperoleh 5,706.

Wong mengatasi Liow dengan kelebihan 2,032 undi.

Beberapa hari lalu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata parti itu memerlukan dana yang mencukupi bagi memenangkan calon mereka di Bentong, sekali gus menghalang Liow membuat kemunculan semula di Dewan Rakyat.

Kata Wee, ucapan Loke dalam majlis makan malam itu adalah angkuh serta tidak menghormati doktrin demokrasi

“Apa yang dikatakan Loke bahawa DAP akan mengumpul ‘peluru’ untuk membantu DAP Bentong ‘menembak’ Liow sehingga tersungkur adalah angkuh.

"Ini amat dikesali dan menyedihkan. Ia menunjukkan Loke gagal menghormati semangat demokrasi, " katanya.

Wee juga menegaskan MCA akan menyokong penuh serta membantu Liow merampas kembali kerusi Bentong dalam PRU ke-15.

“Seluruh ahli MCA akan memberikan sokongan tanpa belah bahagi bagi memastikan kemenangan Liow di Bentong, agar dia dapat melaksanakan perancangan dan tugasan yang belum selesai, membawa kesejahteraan kepada penduduk serta mengembalikan pembangunan Bentong ke landasan yang betul,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS