Beberapa hari lalu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkan rasa kurang senang terhadap kenyataan dibuat Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Ia berkaitan 'maklumat dalaman' yang dibincangkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti dalam pertemuan tertutup mereka.
Hari ini Asyraf Wajdi tampil mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.
Melalui hantaran ringkas di media sosial Asyraf Wajdi berkata ada banyak orang yang menjadi saksi bahawa dia tidak "merapi" serta melanggar janji seperti didakwa Tuan Ibrahim.
"Allah menjadi saksi, ramai juga menjadi saksi bahawa saya tidak merapu dan tidak menipu, jauh sekali memungkiri sebarang janji," katanya.
Sebelum ini Asyraf Wajdi mendakwa PAS ditawarkan 47 kerusi selamat oleh Bersatu dan ia menjadi antara punca parti terbabit memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding Umno sebagai sekutu menghadapi PRU tidak lama lagi.
"Namun bagi Umno, perundingan untuk kembali mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi PRU ke-15.
"Sebagai sebuah parti perjuangan, Umno tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba. Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan.
"Kerana Umno yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan," katanya.
Ia kemudian dibantah Tuan Ibrahim.
Gambar sebagai bukti
Kata penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian itu, tiada perbincangan mengenai tawaran Bersatu seperti didedahkan Asyraf Wajdi.
"Merapu dan mungkir janji. Tiada perbincangan mengenai tawaran 47 kerusi daripada Bersatu, bahkan telah diingatkan agar tidak disebarkan gambar pertemuan tertutup tersebut.
"Tak betul, dia (Asyraf) merapu. Dia tak terlibat pun dalam mesyuarat itu," kata Tuan Ibrahim, semalam.
Ia merujuk kepada pertemuan delegasi PAS diketuai presidennya Abdul Hadi Awang untuk menemui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir ialah Tuan Ibrahim sendiri; Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan; Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan; dan Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir.
Mengiringi kenyataan Asyraf Wajdi hari ini ialah sekeping gambar menunjukkan dia duduk di sebelah Zambry dan mereka berhadapan dengan Abdul Hadi, Tuan Ibrahim dan Takiyuddin.