Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ismail Sabri Yaakob berkata cabaran undang-undang oleh penyandang ahli parlimen Klang Charles Santiago berhubung PRU15 hanyalah bersifat akademik memandangkan Parlimen sudah pun dibubarkan.

Dalam afidavit yang difailkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, perdana menteri sementara itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan agar PRU15 diadakan sebelum musim tengkujuh ini.

Afidavit Ismail Sabri dan kerajaan itu difailkan bagi menyokong permohonan pembatalan tindakan undang-undang Charles yang memohon perintah mahkamah agar PRU tidak diadakan tahun ini.

Dalam tindakan undang-undang yang difailkan minggu lalu, Charles membangkitkan kebimbangan terhadap risiko banjir yang dihadapi pengundi.

Beberapa hari kemudian, tiga defendan yang dinamakan - Ismail Sabri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) - memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan itu.

Charles Santiago

Menurut salinan afidavit yang dilihat Malaysiakini, Ismail Sabri dan kerajaan berkata Agong telah menggunakan kuasa di bawah perlembagaan secara wajar untuk membubarkan Parlimen selepas permohonan dibuat perdana menteri sementara.

Ismail Sabri dan kerajaan merujuk kenyataan media yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pada 10 Oktober lalu, yang menyatakan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen

'Agong laksana kuasa prerogatif'

"Apabila meneliti kenyataan media tersebut, saya juga mendapati bahawa Agong telah menjalankan kuasa prerogatifnya di bawh Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan secara bijaksana dengan menzahirkan harapan bahawa PRU15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November 2022.

"Ini menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna Agong dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat walaupun ia bukanlah suatu keperluan di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian," menurut afidavit itu.

'Dakwaan tak relevan'

Dalam afidavit itu, Ismail Sabri dan kerajaan juga mendakwa mahkamah tiada kuasa untuk mendengar tindakan undang-undang itu kerana kuasa Agong untuk membubarkan Parlimen bukanlah perkara yang boleh dicabar di mahkamah.

Mereka berkata dakwaan Charles - bahawa hanya Umno mahu Parlimen dibubarkan dan ramai ahli parlimen tidak bersetuju - adalah tidak relevan dengan kuasa perlembagaan Agong untuk membubarkan Parlimen.

"Tindakan ini adalah tujuan yang kolateral dan terselindung dn ia jelas suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

"Tujuan yang kolateral dan terselindung dalam tindakan ini dipohon hanyalah bertujuan politik dan suatu cubaan oleh plaintif untuk menghalang tuga defendan ketiga (SPR) dalam menjalankan tugasnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pilihan raya," kata mereka lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS