PKR Hulu Selangor melancarkan skuad bantuan awal bencana banjir menghadapi musim tengkujuh di kawasan parlimen Hulu Selangor.
"Kita lihat kerajaan semakin sibuk melancarkan jentera pilihan raya menghadapi PRU15. Tapi, ada pihak tidak terfikir musim tengkujuh ini di mana kawasan-kawasan yang mengalami banjir perlu bersiap-sedia untuk menghadapinya.
"Bagi kami pelancaran skuad banjir ini sama penting. Walaupun parlimen dah bubar, kita tetap kena fikir pasal banjir,” kata ketua cabangnya, Sathia Prakash Nadarajan.
Bercakap kepada pemberita pada program pelancaran Skuad Banjir Hulu Selangor di Serendah semalam, dia berkata skuad itu bersedia untuk mengendalikan lebih 250,000 penduduk.
Katanya, ia melibatkan kawasan seluas 1,700 kilometer persegi atau bersamaan saiz negeri Melaka itu.
Selain makanan kering dan pakaian. skuad itu juga menyediakan lampu LED, lilin, mesin janakuasa, bateri sokongan, bot kayak dan ubat-ubatan.
"Kami telah mengenal pasti beberapa kawasan hotspot banjir terutama di kawasan berdekatan sungai.
"Pada masa yang sama, kami juga memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi mengalami banjir yang tidak mengalami banjir sebelum ini," katanya.