Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papan tanda Seri Mentaloon dilempar cat
Diterbitkan:  Oct 17, 2022 1:21 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Papan tanda kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, di Alor Setar dilempar cat biru dan merah oleh individu tidak dikenali, pagi ini.

Cat berkenaan turut mengenai pintu pagar, tembok dan pokok hiasan di belakang pagar serta ‘spotlight’ yang menghala ke papan tanda berkenaan, lapor Kosmo.

Menurut akhbar itu, turut dijumpai adalah beg plastik berisi cat merah berhampiran tempat kejadian dan pihak polis sedang menyasat kejadian berkenaan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor difahamkan sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan negeri.

The Star pula melaporkan bahawa ini adalah kejadian pertama seumpama itu berlaku di kediaman rasmi menteri besar.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir sebagai berkata, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira pukul 10 pagi daripada anggota yang bertugas di pos pengawal kediaman rasmi Menteri Besar.

“Anggota pos pengawal memaklumkan kejadian itu belum berlaku semasa dia datang bertugas pada pukul 7 pagi tadi. Jadi, kita percaya ia berlaku sebelum pukul 9.55 pagi kerana staf yang bertugas hanya menyedari kejadian sekitar waktu itu sebelum melaporkan kepada polis pada pukul 10 pagi.

“Hasil siasatan telah menjumpai dua beg plastik berisi cat berwarna biru dan dua beg plastik berisi cat  merah di sekitar kawasan kejadian yang ditinggalkan oleh suspek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Alor Setar hari ini.

Dia berkata pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang berada berdekatan lampu isyarat Pantai Johor dan Alor Merah berikutan tiada CCTV di sekitar kediaman berkenaan.

“Pihak forensik juga telah menjalankan siasatan...Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Ahmad Shukri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS