Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Hajiji, Bung Moktar jumpa TYT Sabah palsu
Diterbitkan:  Oct 17, 2022 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Keratan berita yang tular di media sosial, mendakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertemu Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, petang semalam adalah palsu.

Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri, Jaafar Abd Wahid, dalam kenyataan berkata, keratan itu sebenarnya adalah berita selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN-16) pada 2020, namun ruangan tarikh berita disiarkan sengaja dipotong, dipercayai untuk mengelirukan pembaca.

Jaafar Abd Wahid

Beliau berkata, keratan berita daripada portal itu sengaja disebarkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak sepatutnya dilakukan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

"Saya menerima beberapa panggilan dan mesej bertanyakan kesahihan berita itu sedangkan pada sebelah pagi, saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau pada sebelah petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur.

"Ketua Menteri pula, pada hari itu berada di Kota Marudu dalam program Jelajah GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

"Keratan berita itu disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial terutama WhatsApp sehingga menimbulkan persoalan kepada orang ramai," katanya.

Keratan berita itu menimbulkan persoalan mengenai status Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan khabar angin ada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) GRS bakal keluar parti, mengikut jejak Adun Bandau, Datuk Wetrom Bahanda.

Wetrom Bahanda, Adun Bandau

GRS dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 ADUN, berbanding pembangkang 25 Adun.

Jaafar berkata, keratan berita itu digunakan cybertrooper pembangkang bagi memecahbelahkan perpaduan penyokong kerajaan terutama GRS dan BN dalam berdepan PRU-15.

"Saya meminta orang ramai supaya jangan mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkannya sebelum memastikan kesahihannya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS