Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Saya boleh mati bila-bila, adik-adik kena selamatkan Malaysia’

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyerahkan masa depan negara kepada ahli politik generasi baharu kerana menurutnya golongan muda berkemungkinan hidup lebih lama daripada dirinya, justeru terpulang kepada mereka untuk menyelamatkan negara.

Merujuk kepada Muda, dia memuji penubuhan parti itu semasa politik Malaysia sedang bergolak, susulan perkembangan beberapa tahun lalu.

“Saya mungkin boleh mati bila-bila masa, anak muda pun boleh mati bila-bila masa tetapi secara umumya anak-anak muda boleh hidup lama daripada saya.

“Saya berkecimpung lebih 20 tahun dalam politik melihat Malaysia sekarang dalam suasana yang cukup buruk.

“Oleh itu adik-adik, kamu kena bangun dan selamatkan Malaysia ini, katanya ketika berucap di Parit Jawa, Muar malam semalam.

Mohamad hadir pada ceramah ‘Mega Muar’ anjuran Muda, yang turut menyaksikan penampilan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan penyandang Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muda dan Pakatan Harapan dijangka mengadakan pakatan pilihan raya pada pilihan raya umum ke-15 ini.

Pemimpin Amanah itu juga membidas kerajaan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob kerana membubarkan Parlimen, dengan merujuk bahawa ini dilakukan untuk menyelamatkan pemimpin kanan utama Umno yang sedang dibicarakan atau bakal diheret ke mahkamah.

“Tak pernah lagi dibubarkan parlimen untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin rasuah. Kami (wakil rakyat) nak meneruskan memberi bantuan kepada rakyat.

“Bagaimanapun, (mereka) mahu membubarkan parlimen ketika banjir untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Pembangkang mengaitkan desakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU15 diadakan tahun ini bertujuan menyelamatkan “kluster mahkamah” termasuk dirinya daripada didakwa di mahkamah.

Penyandang Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang merujuk ucapan Zahid pada perhimpunan agung MIC baru-baru ini sebagai pengakuan "terus terang”.

Dia merujuk kepada ucapan presiden Umno itu yang menyebut bahawa pemimpin BN brdepan perbicaraan jenayah jika pakatan itu kalah pada pilihan raya dan ini hanya boleh dielakkan jika BN menang besar pada PRU15 ini.

Alasan utama pembangkang tidak mahu PRU15 diadakan tahun ini adalah kerana risiko banjir semasa musim tengkujuh pada November dan Disember.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS