Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribut di Langkawi: Lebih 40 pendaki gunung terperangkap berjaya diselamat
Diterbitkan:  Oct 16, 2022 5:41 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Seramai 41 pendaki dan tiga malim gunung yang terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh dekat Langkawi akibat kejadian kepala air, pagi tadi telah berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah. Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata kesemua mangsa yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu telah dibawa turun dari kawasan air terjun oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi.

“Kesemua mangsa dikatakan telah membuat pendakian ke Telaga Tujuh pada jaml 4 pagi dan tiba ke puncak pada jam 7.30 pagi. Mereka berehat selama 30 minit dan memulakan perjalanan turun selepas hujan lebat.

“Sampai di aliran sungai, mereka tidak dapat menyeberang sungai berkenaan akibat arus deras dan telah menghubungi bomba. Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, dalam kenyataan, berkata keadaan di Langkawi masih hujan lebat berserta angin kencang.

“Pemantauan sedang dilakukan di kawasan-kawasan yang berpontensi mengalami banjir dan pemantauan paras air sungai utama juga sedang dilakukan.

“Mukim yang yang terjejas akibat banjir dan ribut adalah Mukim Ayer Hangat, Kuah, Padang Matsirat dan Ulu Melaka. Berlaku juga tanah runtuh di Jalan Gunung Raya yang terletak di Mukim Ulu Melaka dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Melaka di Padang Matsirat, Langkawi, telah melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.89 meter dengan trend menaik setakat 4 petang ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS