DAP akur dengan keputusan bersama dicapai Pakatan Harapan (PH) yang kekal dengan pendirian awal - enggan membubarkan dewan undangan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Setiausaha agungnya, Anthony Loke, berkata ia adalah keputusan yang sukar dan pihaknya terpaksa mengecewakan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini berpendapat negeri itu wajar mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan parlimen.
Kata Loke, keputusan diambil PH hari ini merupakan yang terbaik bagi memperlihatkan perpaduan dalam kalangan pembangkang.
“Sebagai setiausaha agung, saya kena buat keputusan sangat sukar, (bermakna) saya perlu kecewakan rakan saya sendiri di Pulau Pinang.
“Kalau kita buat keputusan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan tapi DUN Selangor dan Negeri Sembilan tidak dibubarkan, ia akan diterjemahkan sebagai pendirian yang memecahkan PH.
“Dan jika ada keputusan berlainan antara negeri-negeri PH, itu akan jadi senjata dan peluru kepada musuh kami untuk menggambarkan seolah-olah PH tidak bersatu, tidak boleh buat keputusan kolektif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Hadir sama dalam mesyuarat selama dua jam itu ialah Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Loke berkata DAP sudah menyatakan pandangan dan cadangan untuk DUN Pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri di adakan serentak dengan pilihan raya umum (PRU) ke-15 dalam dua mesyuarat Majlis Presiden PH.
Kata Loke, cadangan tersebut didengari oleh pimpinan tertinggi gabungan itu.
“(Sebelum ini) DAP telah dua kali mengadakan mesyuarat Jawatankuasa CEC dalam minggu lalu bagi membincangkan permintaan kepimpinan DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang serta wakil rakyat untuk mengkaji semula keputusan supaya DUN dibubar secara berasingan," katanya.
Menjelaskan perkara itu, penyandang kerusi Parlimen Seremban itu berkata pembubaran DUN Pulau Pinang akan ditangguhkan ke tahun depan selepas musim tengkujuh yang dijangka melanda negara pada Nov ini.
“Akhirnya kami mengambil keputusan kekal dengan pendirian sebelum ini bahawa PH akan menangguhkan (pembubaran). Bukan tak bubar, tapi menangguhkan pembubaran sehingga tahun depan iaitu (apabila) keadaan lebih kondusif untuk diadakan pilihan raya selepas musim tengkujuh," katanya.