Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad menyarankan parti-parti pembangkang melupakan permusuhan sesama sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yang mahu memperhalusi kerjasama dengan Pejuang, penyandang ahli parlimen Langkawi itu berpendapat parti-parti pembangkang akan tewas sekiranya tidak bekerjasama.
“Kita berpendapat kalau parti-parti lawan ni berpecah, kita akan kalah.
“Jadi kita kena fikir sama ada kita lupakan permusuhan antara kita seperti dalam PRU14.
“Pasa masa tu Bersatu dan DAP tak setuju tapi untuk kalahkan orang yang lebih buruk, kita kerjasama,” katanya kepada pemberita di ketika menghadiri majlis Third Age Media Association di Menara Kuala Lumpur.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang pada PRU15.
Muhyiddin berkata kerjasama berkenaan boleh dilaksanakan sekiranya Pejuang serius mengenai perkara itu.
Bagaimanapun Muhyiddin mengesahkan setakat ini pihak Pejuang belum menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia berasa tercabar dengan pertandingan banyak penjuru di Langkawi, Mahathir berpendapat sesiapa sahaja boleh bertanding di situ pada PRU15.
“Saya tetap di Langkawi tapi sesiapa nak masuk, masuklah.
“Langkawi dulu kemenangan kepada Umno sehingga PRU14. Sekarang ni PRU15 tak tahulah kalau Umno masih berpengaruh,” sindirnya.
Malaysiakini terdahulu melaporkan negarawan berusia 97 tahun itu dijangka berdepan calon muka baru atau muka lama.
Ezam Mohd Nor iaitu bekas setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim antara yang disebut-sebut akan menentang Mahathir di Langkawi.