Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parlimen Bera perlu menang majoriti besar - Ismail Sabri

Perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob meminta semua jentera daripada sayap Umno Bera bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Bera dipertahankan dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ismail yang juga Ketua Umno bahagian Bera berkata, ini kerana kerusi berkenaan ditandingi perdana menteri Malaysia.

"Semua mata tertumpu di Bera, semua orang pandang Bera, ini parlimen perdana menteri.

"Dalam Malaysia ini, seorang saja perdana menteri, jadi semua orang tengok, kalau setakat menang (majoriti) 1,000 atau 2,000 undi (tak memadai), kita perlu menang (majoriti) besar.

"Kalau boleh, kalau dulu 2,300 (majoriti), mungkin 'double' dari dulu, 5,000 lebih, atau pun 7,000, atau 10,000, tapi kita kerja kuat, sekarang hari-hari kena kerja (kuat) sebab saya kata mengundi dah tak lama, lagi sebulan lagi," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bera di Dewan Konvensyen Bera, Pahang, hari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Ismail menang dengan majoriti 2,311 undi menewaskan calon daripada PKR dan PAS.

Dalam pada itu Ismail turut mengulangi bahawa keputusan membubarkan parlimen dilakukan bagi memastikan kerajaan yang stabil dapat ditubuhkan.

‘Dulu kata kerajaan tebuk atap’

Katanya, Umno dan BN perlu menjadi parti dominan untuk menubuhkan kerajaan pusat yang kukuh.

"Kenapa pula pembangkang marah bila kita bubar parlimen, selama ini dia (pembangkang) yang mempersoalkan kerajaan ini kerajaan tebuk atap, kerajaan tebuk dinding, kerajaan pintu belakang.

"Sepatutnya, dia sokonglah saya bubarkan parlimen supaya kita beri peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan sebenar kerana bagi pandangan mereka (pembangkang) kerajaan hari ini diragui keabsahannya," katanya lagi.

Ismail turut menepis dakwaan pembangkang bahawa PRU15 diadakan ketika banjir.

"Belum tentu lagi banjir, belum tentu banjir. Betul, kalau pilihan raya bulan November, mungkin hujan dan sebagainya.

"(Pembangkang) kata banjir pun buat pilihan raya, padahal kalau banjir, siapa yang ke depan, Umno yang ke depan setiap kali banjir walaupun PH (Pakatan Harapan) pernah memerintah 22 bulan, waktu banjir tak nampak pun muka dia orang turun ke mana-mana.

"Dia (pembangkang) tiba-tiba cakap soal banjir, memanglah mereka takut sebab tak reti (pandai) nak menolong orang, kita tak takut sebab kita boleh tolong sesiapa saja dalam apa-apa bencana sekali pun," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS