Kehadiran anjing liar yang semakin bertambah di kawasan Petaling Jaya menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak.
Anjing-anjing liar ini dilihat mengundang pelbagai reaksi khususnya terhadap peniaga dan pekerja yang melalui kawasan itu.
Tinjauan Malaysiakini di kawasan perindustrian sekitar Petaling Jaya mendapati lebih 20 ekor anjing liar berkeliaran.
Seorang peniaga, Mohamad Fairuz Azmi, 24, menyatakan telah melihat beberapa kali penunggang motor kemalangan disebabkan anjing liar di kawasan itu.
“Banyak kali kemalangan di sini, disebabkan anjinglah.
“Waktu kemuncak dia kalau tengah hujan tu memang dia kejar sebab hujan dia sejuk kan,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran anjing liar mengundang ketidakselesaan apabila najis haiwan itu berhamburan di gerai makan mereka ketika ketiadaan orang.
“Malam kedai semua tutup, pagi kita nak buka kadang-kadang tahi penuh.
“Bila kedai tutup lepas tu hujan, anjing-anjing bergelimpangan kat dalam ni.
“Jadi, bila kita sampai dengan tahi dan kencing, kotorlah bekas kencing ni kan,” jelasnya.
Sementara itu, pembantu kedai makan yang hanya ingin dikenali sebagai Uminamira, 22, mendapati sesetengah sahaja anjing liar yang mengejar orang dan haiwan tersebut hanya terdapat di kawasan tertentu sahaja.
“Ada juga lah kadang kejar orang, tapi tak banyak ada satu dua yang kejar yang belah-belah depan sana (jalan utama) saja,” katanya.
Penjaja air Mohd Faizal Samsuri, 38, (gambar) pula berkata anjing liar mudah dijumpai pada sebelah petang, malah turut melihat ada pihak yang memberi makan.
“Anjing liar banyak pada waktu petang ke atas, selalu nampak ada orang bagi makan kadang-kadang,” kata peniaga yang berasal dari Perak itu.
Malaysiakini turut menemu bual seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Doreen, 56, yang selalu memberi makan anjing-anjing liar di kawasan ini.
Menurutnya, ada anjing-anjing liar diberi makan kerana ketiadaan akses untuk mendapatkan makanan disebabkan haiwan ini tinggal dalam lingkungan tertentu.
“Anjing ini ada sempadannya, dia tak boleh melepasi sesetengah kawasan.
“Maksudnya ada anjing lain yang halang dan mereka ada kawasan-kawasannya sendiri,” jelasnya.
Katanya lagi, anjing-anjing liar tersebut kebiasaannya diberi makan setiap hari pada waktu petang.
“Setiap hari bagi makan sekitar waktu 6 hingga 7 petang begini saya mula lah,” katanya.
Tambahnya lagi, sesetengah anjing liar ini adalah bekas anjing belaan yang telah dibuang oleh tuannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Anjing-anjing ini ada antaranya anjing belaan yang dibuang ketika PKP,” katanya.