Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kami calonkan Najib bertanding sebelum mahkamah buat keputusan’

Pemangku Ketua Umno Pekan, Zamri Ramly hari ini tampil menjelaskan bahawa nama bekas perdana menteri, Najib Razak disenaraikan sebagai antara calon kerusi Parlimen itu dan diserahkan kepada Umno Pahang Ogos lalu. 

"Nama Najib bersama empat lagi (nama) diserahkan kepada Jawatankuasa Perhubungan Umno Pahang apabila diminta pada Ogos lalu dan bukannya baru-baru ini. 

"Tarikh akhir (penghantaran nama bakal calon) pada 19 Ogos dan ia (senarai) mungkin dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk tapisan. 

"Namun, pada 23 Ogos, Datuk Seri Najib diperintah menjalani hukuman, jadi pencalonan (Najib) tidak sepatutnya menjadi isu kerana kita serahkan senarai nama sebelum mahkamah membuat keputusan," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini. 

Umno Pekan menjadi tumpuan sejak Khamis lalu selepas bahagian itu meletakkan nama Najib dalam senarai calon untuk PRU15.

Tindakan itu menimbulkan persoalan awam memandangkan Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah melibatkan dana SRC International.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sendiri malah menyindir supaya buku Perlembagaan Persekutuan diberikan kepada Umno Pekan susulan tindakan itu.

Anwar Ibrahim

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta

Laporan itu memetik Zamri sebagai berkata Umno bahagian terbabit menyenaraikan Najib, yang juga ketua Umno Pekan, sebagai antara lima calon berpotensi untuk bertanding di kerusi itu.

Dalam pada itu, Zamri berkata keputusan mencalonkan Najib tidak bermakna dia disahkan akan dipilih untuk bertanding pada PRU15. 

"Najib adalah penyandang dan ahli Parlimen Pekan selama lima penggal jadi namanya dimasukkan dalam senarai. 

"Memang menjadi kebiasaan mana-mana bahagian Umno mencadangkan penyandang kerusi DUN atau Parlimen dalam senarai nama mereka (nama yang dicalonkan mengikut bahagian) untuk pertimbangan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS