Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Selagi belum tiba hari penamaan calon, segalanya mungkin'

PAS masih terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata selagi belum tiba hari penamaan calon, semua parti termasuk PAS masih mempunyai pilihan untuk menyertai atau mewujudkan sebarang gabungan politik.

"Bagi saja bila Parlimen dibubarkan, selagi belum sampai hari penamaan calon, segalanya mungkin berlaku. Semua perkara boleh berlaku, pembentukan gabungan-gabungan itu boleh berlaku sehinggalah hari penamaan calon.

"Hari penamaan calon menentukan satu-satu parti itu di dalam gabungan mana dan sebagainya. Jadi saya rasa belum berakhir sekiranya ada parti ingin membuat atau mewujudkan gabungan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival KetSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA ) di Kota Bharu hari ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan PAS untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) atas prinsip penyatuan ummah juga bererti parti itu menolak Muafakat Nasional (MN), Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menafikan dakwaan itu.

"Kenyatan itu mengukuhkan hubungan dengan PN kerana PAS ini adalah gabungan PN...tetapi ada jumpa (dalam) kenyataan menyatakan kita (PAS) memutuskan hubungan dengan MN? Ada atau tidak?," soal beliau.

Mengenai kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu sedia untuk mempertimbangkan mengenai jalinan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15, Takiyuddin berkata PAS tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Dia (Bersatu) belum minta pandangan kita, saya boleh mengesahkan. Ura-ura itu saya tidak tahu betul atau tidak, kalau betul perkara itu belum dalam pengetahuan kita...kita tidak dirujuk atau diberitahu.

"Berada dalam satu keluarga nak buat apa-apa kita berbincang. Contohnya, PAS berbincang dengan UMNO, kita maklumkan dengan Bersatu secara rasmi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS