Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembangkang ada masa tiga minggu cari formula berdepan BN'

Parti-parti pembangkang diingatkan bahawa mereka hanya mempunyai masa tiga minggu untuk mencari formula bersama untuk menghadapi BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Senada dengan penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata tidak mustahil BN akan dapat mentadbir semula Putrajaya sekiranya pihak pembangkang gagal mencari penyelesaian tentang pakatan pilihan raya antara mereka.

“Pilihan raya kalau diadakan dalam masa tiga minggu ni, dan kalau pembangkang tak mencari formula electoral pact (pakatan pilihan raya) ,maka sekurang-kurangnya kemungkinan besar akan kembalinya golongan kleptokrat khususnya pemimpin-pemimpin Umno, dan tadbir di negara kita kembali,” kata bekas pemimpin PAS itu ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Agus sebelum ini berkata pembangkang tidak boleh menyalahkan orang lain - termasuk rakyat - kecuali diri mereka sendiri jika BN kembali mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dia mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) dan Warisan, duduk bersama dan berbincang tentang pakatan pilihan raya, bukannya berhubung khemah besar.

Mengulas lanjut, Syed Azman berkata dengan suasana politik negara yang sedang berkecamuk, ditambah dengan pilihan raya yang bakal diadakan dengan keadaan yang begitu tergesa-gesa, banyak kebimbangan yang boleh berlaku.

“Bila timbul soal khemah besar, banyak pandangan-pandangan yang menyokong dan membangkang.

“Tapi akhirnya kita lihat tak ada apa-apa yang keluar (hasil) daripada yang disebut oleh khemah besar itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, perkara itu turut dibincangkan bersama pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Menyuarakan kebimbangannya terhadap masa depan negara, Syed Azman berkata apa yang sepatutnya mmenjadi tunjangan utama pemimpin politik adalah demi menyelamatkan negara.

“Jadi pemimpin-pemimpin politik sepatutnya fikirkan macam mana nak selesaikan kemelut yang kita hadapi - kesan ekonomi dan krisis politik.

“Pilihan raya dah empat tahun lepas, tapi sejak habis pilihan raya sampai sekarang tak habis-habis berpolitik.

“Yang menderita sekarang rakyat bawahan secara umumnya, di mana sepatutnya pemimpin politik lihat dari perspektif ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS