Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tidak pernah berganjak demi pertahan Umno - Zahid
Diterbitkan:  Oct 13, 2022 1:40 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kes mahkamah terhadapnya adalah "pendakwaan terpilih" akibat keengganan untuk membubarkan parti itu.

Zahid berkata dia tidak akan berganjak seinci pun mempertahankan Umno tanpa gentar terhadap pendakwaaan terpilih ke atas dirinya.

“Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH pada pilihan raya umum ke-14), antara langkah (perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir (Mohamad) ialah cuba membubarkan parti Umno.

“Tujuan berbuat demikian agar semua ahli Umno akan beralih pindah ke parti Bersatu.

“Malah tujuan parti Bersatu ditubuhkan adalah untuk menggantikan parti Umno. Dalam setiap kempen Dr Mahathir, seringkali menyatakan Umno tidak lagi relevan. Pelbagai tohmahan terhadap pemimpin dan parti Umno,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tujuan itu, katanya adalah untuk menghasut agar ahli Umno sendiri membenci parti berteraskan Melayu yang telah banyak berjasa kepada masyarakat dan negara tersebut.

“Usaha terdesak Mahathir apabila meminta saya membubarkan Umno. Mahathir ketika itu adalah pengerusi Bersatu dan perdana menteri.

“Berderau darah saya mendengar kata-kata tersebut. Maka, apabila saya diminta agar melompat parti, meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu maka dengan tegas saya tolak permintaan Dr Mahathir untuk bubarkan Umno,” katanya.

Menurut Zahid, ramai ahli parlimen Umno berpaling tadah dan melompat parti apabila PH menang, kerana menganggap Umno tidak tidak akan mampu kembali menjadi kerajaan susulan kekalahkan pada tahun 2018 itu.

“Tidak lama selepas saya tidak bersetuju Umno dibubarkan, saya terpaksa membayar harga yang tinggi dengan pendakwarayaan terpilih dikenakan 87 tuduhan rasuah.

“Saya tidak pernah berganjak seinci pun mempertahankan Umno,” kata Zahid sambil menambah bahawa dia mungkin akan terlepas daripada kes mahkamah jika akur untuk membubarkan Umno.

Dia mendakwa ramai bekas pemimpin Umno/BN meninggalkan parti dan gabungan itu untuk menyertai Bersatu, kerana bimbang mereka akan disiasat SPRM berhubung kaitan dengan 1MDB.

“Insya Allah, saya tetap berdiri tegak mempertahankan parti Umno tanpa gentar pendakwaaan terpilih ini,” katanya.

Untuk rekod, peguam Zahid sebelum ini mendakwa di mahkamah bahawa pertuduhan terhadapnya adalah kes jelas pendakwaan terpilih tanpa sebarang prima facie.

Semalam, Zahid turut menjelaskan bahawa ucapannya di perhimpunan agung MIC baru-baru ini yang menyebut bahawa pemimpin BN akan berdepan perbicaraan jenayah sekiranya PH memenangi PRU15 adalah mengenai "pendakwaan terpilih". Video ucapan tersebut kemudiannya tular di media sosial.

Dia menyelar lawan politiknya kerana "memutarbelitkan" ucapnnya itu seolah-olah ia adalah pengakuan bahawa kepimpinan Umno mahukan pilihan raya segera untuk menyelamatkan "kluster mahkamah" daripada didakwa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS