Keputusan PH sebelum ini untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15 di tiga negeri ditadbirnya mungkin boleh meletakkan gabungan itu dalam kedudukan sukar.
Ia selepas DAP Pulau Pinang dilaporkan mencadangkan agar keputusan itu dibatalkan.
Beberapa sumber yang dihubungi Malaysiakini berkata ada pemimpin yang bimbang mereka akan dipersalahkan kerana menyebabkan penduduk Pulau Pinang terpaksa turun mengundi dua kali - iaitu bagi Parlimen dan DUN.
Pada masa sama, ada juga yang bimbang jika PH membuat pusingan U berhubung keputusan itu, ia akan membangkitkan kemarahan pengundi.
Penganalisis yang dihubungi Malaysiakini berbeza pendapat berhubung bagaimana PH patut mengendalikan perkara itu.
Pensyarah National University of Singapore Serina Rahman maklum bahawa PH dalam situasi "bahaya" dengan BN mampu menjadikan isu tersebut sebagai senjata menyerang mereka.
"(Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi sudah pun menyatakan mereka (PH) tidak yakin dan sebab itu tak mahu buat pilihan raya.
"Dan (perdana menteri sementara) Ismail Sabri Yaakob berkata agar pilihan raya negeri turut diadakan agar rakyat tidak disusahkan dan kos dapat dijimatkan, walaupun kita tak akan hadapi masalah ini jika PRU15 tidak diadakan pada masa ini," katanya.
Baginya, langkah terbaik bagi PH adalah untuk fokus kepada apa yang terbaik kepada rakyat kerana gabungan itu akan tetap menerima kritikan.
"Jadi mereka perlu lakukan yang terbaik dalam situasi sukar ini," katanya lagi.
Perkara lebih penting
Serina berkata lagi, apa yang lebih penting berbanding isu pembubaran DUN adalah tawaran PH dalam PRU15.
Katanya, PH perlu mampu membuktikan kepada pengundi yang mereka dapat membawa negara keluar daripada masalah yang melanda pada masa ini - sesuatu yang sukar kerana mereka telah hilang peluang itu apabila pentadbiran PH tumbang pada Februari 2020.
Lima hari sebelum Parlimen dibubarkan, PH membuat keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya peringkat negeri di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor sehinggalah musim tengkujuh berakhir.
PAS juga membuat ketetapan awal untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya, iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu. Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan dimuktamadkan hari ini.
Pengundi mungkin rasa jengkel
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar tidak menolak kemungkinan pengundi akan rasa jengkel kerana perlu keluar mengundi dua kali dalam tempoh yang singkat.
Menyokong negeri PH mengadakan pilihan raya peringkat DUN secara serentak dengan PRU15, dia berkata tidak timbul isu gabungan itu membuat pusingan U, asalkan ia dibuat demi kebaikan pengundi.
"Tak perlu ada dilema untuk PH buat keputusan bubar atau tidak. Ini kerana PH dulu berhujah yang ketika BN bubarkan DUN Melaka dan Johor, PRN yang diadakan membazirkan wang rakyat.
"Selaras dengan hujah ini, PH perlu buat pilihan raya negeri secara serentak dengan seluruh negara untuk jimatkan wang dan masa rakyat," katanya lagi.
Jika ia tidak dibuat serentak, kata Hisommudin, PH juga berisiko untuk tewas nanti jika BN menang di peringkat persekutuan dan dapat berkempen secara maksimum ketika pilihan raya negeri.
Walaupun Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini berkata rakyat Pulau Pinang cenderung untuk pilihan raya diadakan serentak, penganalisis politik Wong Chin Huat menolak hujah bahawa pengundi tidak ingin keluar mengundi dua kali.
Sebaliknya, dia berkata kebanyakan pengundi gembira untuk menempuhi satu lagi pilihan raya bersama-sama lima negeri lain apabila penggal semasa tamat, iaitu kira-kira 10 bulan akan datang.
"Ia adalah masa untuk mereka menyokong atau menolak kerajaan persekutuan baru, tak kira parti mana yang berkuasa.
"Ini adalah kesan pilihan raya di tengah penggal. Ia akan sama seperti PRK tetapi melibatkan seluruh negeri. Rakyat Malaysia tidak pernah merungut berkenaan PRK dan semua parti akan datang dan buat tawaran kepada mereka," katanya.
Pensyarah Sunway University itu juga berkata pengundi mahu "sokongan dan perhatian maksimum" daripada kerajaan persekutuan dan negeri apabila banjir melanda.
Katanya, walaupun PRU15 tidak boleh dielakkan lagi, sekurang-kurangnya kerajaan negeri dapat memberi lebih tumpuan kepada usaha menangani banjir jika mereka tidak perlu menghadapi pilihan raya negeri.
"Jika kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk membubarkan DUN dan tidak dapat lakukan yang terbaik dalam usaha berkenaan banjir, ketua menteri dan PH negeri akan dipersalahkan," katanya lagi.