Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bubar atau tidak 3 DUN bawah pentadbiran PAS diketahui esok
Diterbitkan:  Oct 12, 2022 5:23 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Keputusan sama ada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran PAS dibubarkan ataupun tidak selaras dengan pembubaran Parlimen ke-14 akan diketahui esok.

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan membabitkan DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah itu akan diumum selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata hal berkaitan pembubaran ketiga-tiga DUN difahamkan telah dibincangkan semalam (Selasa) untuk dibawa ke mesyuarat jawatankuasa penuh PAS Pusat esok.

“Saya tidak boleh mendahului mesyuarat, saya percaya lepas mesyuarat esok akan ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Bhd 2022 di Wisma Darul Iman hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan serta Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS